Saturday 16 October 2021

NOVEL SAIFAI : AKU BUKAN HISYAM


Satu fenomena ganjil berlaku. Ruang angkasa tiba-tiba dinodai dengan kehadiran sebongkah meteor meluncur laju menuju ke planet Bumi. Dengan kelajuan yang diluar dugaan ia melanggar bulan dan menyebabkan arahnya terpesong sedikit dari landasan asal. Situasi ini sebenarnya telah diramal dan dijangka sejak awal. Namun, tiada siapa yang mampu untuk mengambil langkah yang betul dan tepat bagi menangani situasi itu. Ahli sains dan cendikiawan seluruh dunia bergabung dan bersatu untuk menangani masalah tersebut. Walaupun satu pasukan pemusnah yang terbaik di dunia dan terpilih dari pelbagai bidang dihantar dengan kapal angkasa ke meteorit tersebut.

Namun, usaha itu sia-sia sahaja lantaran kesemua krew kapal terkorban akibat masalah teknikal berlaku di luar jangka semua.

Akhirnya, Meteor itu menembusi atmosfera bumi. Dan, ganjilnya mula berlaku. Meteor itu tiba-tiba berhenti di ruang udara dan mula menyerap tenaga. Satu demi satu kepulan awan gemawan yang terapung bebas di ruang udara diserap. Seperti sebuah vakum yang menyedut debu-debu dan sampah-sarap ia menyedut awan pelbagai bentuk. Fenomena itu menyebabkan suhu bumi meningkat tiba-tiba. Dan keadaan ini berterusan beberapa hari. Tedapat juga usaha beberapa buah negara seperti US dan Britain menggunakan operasi tentera untuk memusnahkan batu meteor yang sebesar padang bola sepak itu.

Namun, usaha mereka sia-sia sahaja. Setiap pesawat tentera yang menghampiri meteor itu musnah dalam satu serangan bunyi yang terhasil dari dari meteor yang hitam keperakkan itu. Para saintis dan pihak-pihak yang berkuasa buntu memikirkan ancaman ini. Sekiranya situasi itu berterusan nescaya medan magnetik bumi akan diserap habis dan ini akan menyebabkan seluruh planet bumi akan menjadi serpihan atau debu-debu angkasa dalam jangka masa yang tidak diketahui.

Malangnya semua pihak yang buntu dengan masalah ini terpaksa melupakan hasrat mereka dan buat sementara mereka menunggu sambil bersedia untuk kemungkinan yang pasti. Bumi akan musnah.

Masalah ini menyebabkan seorang proffesor dari Malaysia terasa perlu berbuat sesuatu. Proffesor Ikmal lulusan Universiti Teknologi Robotik (UTEKROB) memulakan usaha yang penting dan amat bermakna itu dengan pelaksanaan Projek Janus yang dijalankan oleh Suluken Corporation, di bawah seliaannya. Semuanya bermula setelah beberapa maklumat penting diperolehi dari agensi perisik berkenaan meteor tersebut.

 

 

BAB 1

2012 Masihi

Makmal V 3000

Proffesor Ikmal meneliti carta dan paparan skrin maya di hadapannya itu. 97 % projek Janus itu hampir siap. Usaha yang dilakukan sejak setahun lebih itu hampir-hampir siap. Dia mungkin memerlukan beberapa jam lagi untuk menguji alat kelengkapan dan objek projek itu sendiri. Dan, detik itu tidak lama dari masa sekarang. Dia yakin.

Cyborgsaver G1 ataupun C1G1 direnungnya tanpa berkedip mata. Dia sedar usaha itu memakan belanja yang tidak sedikit. Hampir 2 Billion matawang US digunakan dalam projek Janus itu. Dan masa serta semangat juga banyak dikorbankan untuk tujuan murni itu. Dia tidak mahu usaha murni itu sia-sia seperti yang sudah-sudah. Merenung tubuh lelaki yang berdiri tegak dalam balang gergasi penuh dengan wayar-wayar dan kiub khas berselirat dia rasa sebak. Kesemua hujung tiub dan wayar tersebut disambungkan ke tubuh lelaki itu. Lelaki itu dikenali sebagai kolonel Hisyam Razifuddin.

Kolonel Hisyam Razifuddin adalah sahabatnya sejak dari kecil lagi Hisyam seorang yang sangat rapat dengannya. Sejak dari kampung hinggalah mereka bersekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan akhirnya mereka berpisah kerana Hisyam meminati bidang tentera dan menjadi tentera udara yang terbaik ketika itu. Manakala dia sendiri meneruskan minatnya dalam bidang robotik di UTEKROB. Dan setahun yang lalu dia terkorban dalam operasi tentera dalam serangan ke atas meteor itu. Mayatnya di bawah ke hospital kerajaan. Memandangkan dia tidak ada waris lagi selain dia sendiri sebagai sahabatnya. Maka dengan inisiatifnya sendiri dia telah menyimpan mayat sahabatnya itu di makmal khasnya di banglo kediamannya. Di situ ia diawet dan dikekalkan keadaannya dengan menggunakan mesin pelanjut hayat ciptaannya.

Dan kebetulan projek Janus dilancarkan. Projek itu memerlukan mayat seseorang yang segar dan masih berkeadaan baik. Maka dia mengambil keputusan untuk menggunakan mayat sahabatnya itu sebagai bahan utama Projek Janus. Dia sedar dan tahu apa yang dilakukannya walaupun pada mulanya dia tidak mahu menggunakan mayat sahabatnya itu. Namun, mengenang kembali semangat juang Hisyam dalam pengorbanan untuk negara maka dia merelakan tindakannya sebagai penghormatan ke atas sahabat baiknya itu.

Mayat Hisyam diubahsuai. Di bawa ke makmal yang terletak 3000 kaki di bawah permukaan Laut China Selatan. Dia sendiri yang mengubahsuai mayat sahabatnya itu. Dia tidak mahu saintis lain yang menyelia Hisyam. Kini pengubahsuaian itu sudah 100 peratus siap. Cuma pengisian Kad-Tenaga khas yang dibina berdasarkan Termosonuklear. Senjata ini merupakan senjata yang berbentuk peluru jenis gelombang tenaga yang dijana dari kuasa nuklear. Setiap janaan peluru tenaga itu menghasilkan satu bebola tenaga yang memiliki kekuatan 20 megatan. Dengan kemajuan senjata pemusnah yang cukup dashyat itu pasti meteor tersebut akan berkecai. Dia yakin!

Sebelum ini pelbagai jenis senjata dari jenis peluru berpandu, Misil dan Meriam Laser tidak berkesan sama sekali ke atas struktur meteor itu. Oleh itu, dia mencipta sejenis senjata yang hanya dijana oleh tenaga nuklear dan dikuatkan dengan sistem Supersonik ciptaan Dr. Arshenaida Fukada. Dengan menggunakan sel-sel hidup yang disuntik Triple X-Gen berwarna hijau tenaga nuklear yang dijana oleh sistem Supersonik akan mudah dibentuk dengan hujung jari dan berupaya dilancarkan secara fizikal. Dan. kadar momentum tenaga yang terhasil bersamaan dengan 60 Megatan Momentum nuklear.

Sel-sel yang dimilikinya membahagi dengan kadar 60 kali ganda lebih cepat dari normal. Ini bermakna, kemampuan Daya-Pulihnya sembuh dengan cepat. Sekiranya ia dicederakan maka rawatan penyatuan sel-selnya akan bertindak segera dan menyembuhkan luka atau kecederaan tersebut.

“Kenapa kau memilih tentera?” soal Ikmal ketika mereka sedang menikmati makan malam di sebuah restoran di Metropolis Kuala Lumpur tidak lama dulu. Sebuah restoran tertua di ibu negara itu. Ocean Food-Since 1955.

Hisyam tersengih. Dia terkelu seketika. Sebenarnya dia pun tidak pasti jawapan yang pasti dan tepat untuk soalan itu.

“Entah lah… mungkin sebab dalam jiwa aku ini ada semangat juang yang sentiasa meluap-luap dan tidak sesekali mengalah. Mungkin juga sebab takde pilihan lain… dan mungkin juga…”

“Mungkin juga kerana Syakirah?” potong Ikmal tiba-tiba.

Hisyam terkedu. Tidak menjangka jawapan itu yang lahir dari mulut sahabatnya.

Dia tunduk.

“Kan?!” tukas Ikmal.

Hisyam angkat muka. Wajah Ikmal direnung seketika.

“Dah jodohnya dengan orang lain… “ Gumamnya.

“Tau pun kau… sepatutnya kau kena redha dengan ketentuan. Dah nasib! Takkan sebab dia kau nak lupakan cita-cita kau? Aku yakin kau akan jadi peguam yang terbaik nanti. Kenapa mengalah? Jangan mengalah kerana seorang perempuan yang bukan ditakdir untuk kau!” Ikmal merenung sahabatnya itu, simpati.

“Maafkan aku Ikmal… selepas semua yang berlaku, aku rasa tawar untuk teruskan cita-cita aku. Aku bukan tidak minat tentera. Aku minat….aku memang minat. Kau pun tau.... sejak dari kecil lagi aku bercita-cita untuk jadi peguam. Tetapi itu bukan bermakna aku akanjadi peguam. Takdir dah tentukan aku akan jadi askar. Jadi tentera! Sekurang-kurangnya aku dapat juga berbakti untuk negara kita.”

Ikmal tarik nafas. Ada benarnya ungkapan Hisyam itu. Dia sebenarnya risau keselamatan Hisyam. Dia tidak mahu Hisyam terkorban. Dia tahu, tugas sebagai anggota tentera sangat berisiko tinggi. Kematian setiasa mengintai, maut sentiasa menunggu. Bila-bila masa sahaja Hisyam akan terkorban. Peluru tidak pernah mengenal siapa Hisyam. Hakikat itu semua orang tahu.

Dan hakikat itu menjadi reality kini. Hasilnya apa yang ada di depan matanya sekarang. Mayat Hisyam kini berada dalam balang gergasi itu. Bersemadi tenang menunggu ia dibangkitkan dengan personaliti baru dengan tujuan yang murni, semurni semangatnya dan tujuannya semasa hayatnya dulu. Kali ini dia bukan sahaja akan berbakti kepada negaranya malah seluruh dunia akan terhutang budi kepadanya. Dia akan menjadi penyelamat dunia yang pertama dalam sejarah dunia sebagai hasil teknologi tinggi dalam bidang robotik. Dia juga menjadi manusia pertama dalam sejarah dunia sebagai manusia pertama yang dihidupkan kembali dengan teknologi tinggi itu. Dia akan menjadi Cyborgsaver G1. Hisyam adalah generasi pertama dari model itu, C1G1.

“Prof.?”

Prof. Ikmal tersentak. Lamunannya berkecai seribu. Serta-merta wajah Hisyam dan perbualan mereka terputus diganti oleh wajah Aizad, si pembantu makmal.

“Ya, Aizad?” Prof. Ikmal bertanya dengan nada yang kurang senang.

“Prof… Gen G-flesh sudah sedia untuk disuntik.” Jawabnya.

Prof. Ikmal mengalihkan pandangannya ke arah mesin penyuntik itu. Kelihatan cecair hijau metalik terkandung dalam balang khas.

“Baiklah … mulakan!” arahnya.


*DAPATKAN NOVEL 'AKU BUKAN HISYAM' DI KARNADYA.COM.MY. DENGAN HARGA RM 14.90 SAHAJA.. 


Ruj: 

https://karnadya.com.my/hubungi-kami/

https://shopee.com.my/NOVEL-AKU-BUKAN-HISYAM-ASAL-RM14.90-RM17.90-i.61011756.7109160797



 

 


NOVEL FANTASI : PAHLAWAN ADAMUS


SEBUAH DUNIA IMAGINASI MENJADI NYATA

Semuanya bermula ketika dia terjumpa sebuah buku. Buku itu membawanya ke alam yang tidak terduga. Alam ini menemukannya dengan maharaja yang amat jahat. Juga menemukannya dengan sumpahan keras yang amat zalim.

Namun dia langsung tidak menduga tatkala penghuni alam itu memandangnya sebagai penyelamat. Maka bermulalah kembaranya merentas alam fantasi itu mencari satu-satunya pedang yang boleh membunuh maharaja zalim itu.

Kembara ini tidak semudah yang disangka. Makhluk mistik, ahli sihir jahat dan gerombolan tentera musuh menanti. Namun dia dibantu teman-teman yang berjuang di sisi.

Gendang perang sudah dipalu. Terpulang pada Pahlawan Adamus untuk menamatkannya.

---


Intro

“Adamus… Adamus!”

Suara garau bergema di malam yang hening itu memecah kesedaran, sekali gus membangkitkan rasa seram dan takutnya. Suara itu acap kali bergaung dan didengarinya tanpa dijangka. Tiba-tiba sahaja suara itu seakan menggila dalam setiap ruang yang dilaluinya. Setiap helaian mimpi yang diterokanya, suara itu akan bergema menguasai gegendang telinga dan kesedarannya tanpa rasa belas dan tanpa mengira keadaan.

Ia akan menggila bagaikan gelombang ombak yang menggulung pantai. Menghempas ke gigi pantai dengan gagah. Bagaikan ada magnet di antara mereka. Di mana saja dia berada di situlah suara itu akan bergema memecah tabir-tabir mimpinya.


ALAM FIARA

Api yang marak kemerahan itu tiba-tiba sahaja bersinar terang bagaikan disimbah minyak. Cahaya terang berwarna hijau kemudiannya menggantikan cahaya api merah dan mula bersinar dengan denyaran tenaga yang menyakitkan telinga. Berdengung-dengung menguasai alam yang kian sunyi.

Pendeta Hoslis tersentak. Begitu juga Padawan Naldo. Masing-masing berkerut kening.

“Naldo!” Pendeta Hoslis merenung ke arah Padawa Naldo sekilas. Ada riak teruja pada wajah yang berumur dalam lingkungan 40-an itu. Kening putihnya hampir-hampir bertaut rapat.

“Petanda Arneus!” Bisikan Pendeta Biara Urtughul itu bergema seketika.

Padawa Naldo turut menyebut nama itu dengan berbisik, “Petanda Arneus?”

Pendeta Hoslis mengangguk sambil bergerak tidak sabar ke arah unggun api raksasa di tengah-tengah biara itu. Padawa Naldo mengekor dengan rasa ingin tahu.

“Dia sudah bertindak!”

“Dia? Dia siapa?”

“Tok Kiril sudah bertindak!”

Mereka berdua berdiri. Riak cemas dan teruja terpapar pada wajah mereka.

Padawa Naldo bersuara pelahan, “Api hijau akan menyala dan menerangi seluruh ruang Meus dan suara keadilan akan bergema di serata alam bersama gempita naga salji dari utara yang membaham kejahatan di selatan. Tanda ini adalah Pahlawan Adamus yang akan bangkit di akhir zaman Nirmala memusnahkan seluruh kejahatan. Bersamanya ada dua belas pahlawan yang terbilang daripada semua puak alam Fiara dan memusnahkan Maharaja Syaitan yang kejam.”

Pendeta Hoslis menoleh ke arah Padawa Naldo dengan wajah yang tenang tetapi menoleh kembali ke arah unggun api yang kini memancarkan warna kehijauan yang terang. Dia faham apa yang dikatakan Padawa Naldo itu. Semua kisah itu tercatat dalam Kitab Burqus. Kitab yang sudah berusia ribuan tahun itu mengungkapkan segala ramalan masa hadapan. Kitab Burqus disalin oleh Pendeta Herselis dari kitab tertua di alam Fiara.

“Benarkah Adamus akan muncul?”

Pendeta Hoslis menoleh ke wajah Padawa Naldo. Pembantu yang menghambakan dirinya dengan Biara Urtughul itu sedikit kurang yakin dengan apa yang berlaku di hadapan mereka. Mungkin kerana tidak menduga sama sekali ramalan dalam kitab Burqus itu adalah benar.

Pendeta Hoslis membuka jubah lusuhnya dan membusungkan dadanya ke arah Padawa Naldo.

“Lihat ini Padawa… lihatlah…”

Padawa Naldo segera mengalihkan pandangannya atas dada Pendeta Hoslis. “Tanda apakah ini?”

“Inilah tanda keramat pengikut Adamus, pahlawan akhir zaman itu.”

Mulut Padawa Naldo melopong seketika.  Lambang itu pernah dilihatnya dalam kitab tua sebelum ini. Dia atas dada Pendeta Hoslis terukir satu corak yang timbul dan berwarna hijau tua. Lambang itu memancar cahaya hijau, seolah-olah menyambut pancaran cahaya hijau terang dari unggun api raksasa di tengah-tengah biara itu.

“Apakah tuan… apakah…”

Pendeta Hoslis mengangguk, mengiakan apa yang berlegar-legar dalam benak Padawa Naldo.

“Tuan pendeta Hoslis adalah Pahlawan Adamus?” Ungkapan itu muncul kemudian dari mulut Padawa Naldo, menyambung suaranya yang tenggelam sebentar tadi.

“Bukan!” Pendeta Hoslis pantas menafikan. “Adamus akan muncul di timur bersama bintang terang Oriomus. Ketika itu Adamus bersama 12 orang pahlawan sakti bergerak bersama dari segenap penjuru menghapuskan kejahatan.”

Padawa Naldo tersentak. Tidak menyangka telahannya tidak mengena. Dia tunduk seketika dan mengalihkan pandangan ke tengah-tengah unggun api yang semakin terang cahayanya.

Beberapa saat kemudian cahaya itu perlahan-lahan malap. Pada masa yang sama angin bertiup kencang dari selatan membuatkan ruang biara itu dicengkam kesejukan dan denyar tenaga yang membingitkan telinga turut sama hilang perlahan-lahan.

“Esok aku akan ke utara!” Tiba-tiba Pendeta Hoslis bersuara dengan nada tinggi dan bersemangat. Padawa Naldo tersentak dengan kata-kata pendeta itu.

“Tuan pendeta ke utara esok?”

Pendeta Hoslis tidak menjawab sebaliknya mengangguk dengan tenang.

“Kalau begitu, aku… Padawa Naldo ingin ikut sekali!” Padawa Naldo pula tiba-tiba bersemangat mahu menyertai gurunya. Anak matanya menancap dengan girang pada wajah Pendeta Hoslis.

Pendeta Hoslis menoleh dan merenung wajah anak muda itu dengan pandangan yang sungguh bermakna. Kemudian dia mengangguk setelah agak lama memikirkan sesuatu. “Mungkin… ya… mungkin inilah takdir kamu, wahai padawa.”

Padawa Naldo mengangguk pantas dengan girang. Tanpa berkata apa-apa lagi dia menoleh dan berlalu keluar meninggalkan Pendeta Hoslis dengan pandangan yang mengandungi harapan dan hati yang penuh semangat teguh dan kukuh demi memenuhi takdirnya.

Esok akan bermulanya perjalanan yang akan menentukan nasib dunia Fiara yang sudah lama dicengkam tenaga kejahatan dari kegelapan itu. Esok juga dia akan tahu kebenaran ayahnya tentang ‘Pahlawan Adamus’ yang ditunggu-tunggu sejak dahulu lagi. Esoknya Pedang Ornalid akan keluar dari sarungnya demi berbakti kepada pahlawan ramalan itu.


Faizal tersentak dari tidurPeluh dingin membasahi seluruh tubuhnya. Mimpi itu datang lagi! Mimpi yang sama seperti hari-hari lalu. Jam digital di atas mejanya memaparkan angka dua pagi. Dia mengeluh. Gambaran ataupun mimpi itu berulang lagi pada waktu yang sama. Mimpi yang membuatnya berpeluh-peluh dan rasa takut yang didesak oleh mimpi yang sangat mengujanya dan mendebarkan.

Tiba-tiba pendengarannya menangkap sesuatu. Satu bunyi yang membuat telinga sangat sakit seakan-akan ditekan satu tenaga yang kuat. Tekanan itu semakin lama semakin kuat dan membuatnya mengerutkan dahi.  Dia memejamkan mata dan menarik nafas sedalam-dalamnya.

“Adamus….”

Sekali lagi nama itu disebut bersama desiran angin sejuk yang tiba-tiba menjalar ke dalam bilik tidur yang suram itu. Seluruh tubuhnya meremang, seram. Denyutan jantungnya melaju. Dia meliarkan mata dan merenung ke serata arah, cuba mencari kelibat ataupun mana-mana sumber yang memungkinkan suara itu bergema di dalam ruang biliknya.

Kesuraman bilik menyambut pandangannya sesaat. Kemudian tiba-tiba satu lembaga muncul dari kegelapan. Dia tersentak!

Di hujung biliknya ada satu lembaga hitam yang terbentuk dari kesuraman bilik. Hawa sejuk menyengat sumsum tulangnya, sehinggakan wap udara menyembur deras dari hidungnya tatkala dia menghembus nafas. Dia merenung lembaga itu dengan dada yang berdegup kencang.

“Adamus!”

“Hah?”

Sekali lagi dia tersentak. Pantas bangun cuba melarikan diri. Tubuhnya jatuh di atas permukaan lantai marmar yang sejuk. Dia mengaduh keras dan cemas lalu bangkit kembali dengan pantas sambil merenung ke serata arah.  Lembaga hitam itu hilang!

“Ah! Mimpi lagi rupanya…” Dengus nafasnya kedengaran lega.

Jam digital direnung sekilas. Jam 2 pagi!

Dia menggeleng kepala. Waktu itu berulang lagi. Waktu yang sama tatkala dia diserang mimpi itu. Gila! Sudah dua bulan dia mengalami mimpi itu. Hampir seluruh hidupnya kini semakin berubah dari sehari ke sehari.

Kerja-kerja di perpustakaan pun turut berubah. Dia tidak lagi dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kerja-kerjanya. Jika dia sempat melakukannya, dia akan buat. Tetapi dengan fikiran yang bercelaru dengan masalah peribadi dan mimpi-mimpi yang membuatnya tidak senang tidur, ia tidak memberinya peluang bagi melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

“Mimpi dalam mimpi… hum…”

 

---






gambar-gambar ketika promosi novel PTS suatu ketika dahulu(2010).




Ruj: 
https://pts.com.my/buku/pahlawan-adamus


 

AKU... SANG PENGEMBARA!

Shah Alam

* Wish You Were Here - Pink Floyd

PAGI AHAD yang sedikit lesu,  walaupun deringan penggera jam automatik berbunyi nyaring mengegarkan bilik tidurku, aku seakan-akan tidak mampu mengatasi air kencing Syaitan dalam telingaku yang terus-menerus membisikan agar terus tidur.  Dan hasilnya aku terbangun setelah Matahari hampir keluar menerangi alam.  Segala puji bagi ALLAH atas segala hal dan Maha Suci Allah yang menghidupkan kami sesudah mematikan kami dan kepada-Nya kami kembali. Aku segera bangun, bersiwak dan mandi kemudian berwuduk untuk Solat Subuh.  Bersiap dengan pakaian kerja aku mendirikan solat Subuh dengan tenang dan sabar.   Sungguh aku lewat subuh hari ini.  Betapa malangnya hidup aku yang bermula dengan ‘Subuh Gajah’ kata orang Pahang.  Usai Solat Subuh, Seribu istighfar ku lafazkan akibat dari kelalaian dan kealpaan hidup hari ini.  Setelah berdoa aku bangun dan melihat jam.

Melihat jam sudah menghampiri 7.30 pagi, aku segera bangun dan mencapai beg galas ku yang sudah diubah-suai, ambil kunci kereta dan bergegas turun ke tingkat bawah.   Matahari telah mulai menampakkan dirinya tatkala aku membuka pintu rumah.    Seperti biasa sambil membaca ayat-aya amalan keluar rumah aku melakukan rutian harianku dengan tenang tetapi sedikit bergerak lebih pantas dari biasa untuk mengejar masa.  Dalam setengah jam lagi aku mesti melaporkan kehadiran ku di pejabat melalui cetakan cap ibujari pada mesin perakam waktu yang lebih moden berbanding dulu.  Tetapi aku tetap memandu dengan hati-hati seperti biasa.  Kalau biasanya aku memandu pada kelajuan 70 kilometer sejam, pagi ni aku melajukan ke tahap 90 kilometer sejam.  Satu kelajuan yang buat aku rasa cuak.  Maklumlah, aku aku bukan jenis yang suka merempit atau bawa kereta laju-laju di jalan raya.  Aku risau terlanggar atau dilanggar kerana kecuaianku atau kecuaian pemandu lain.  Bagi orang lain, mereka akan bosan menumpang kerana kelajuan mereka dan kelajuanku berbeza dalam hal memandu kereta.

Dalam beberapa minit kemudian, aku sampai di pejabat. Keadaan masih lengang, tetapi jam menunjukan 7.50 pagi.  Lagi sembilan minit, kehadiranku mesti dikesan oleh mesin perakam waktu automatik yang tersedia di pintu masuk.  Alhamdulillah, ketibaanku disambut dengan aroma pejabat yang sedikit hapak dan bunyi mesin perakam waktu yang sentiasa berdecit pada setiap 20 minit itu.  Ibu jari kananku dilekapkan ke ruang pengesan cap jari.  Bunyi berdecit dua kali kedengaran. Kehadiranku berjaya dicatat pada jam 7 : 54 minit pagi.  Alhamdulillah...  setelah menghidupkan lampu dan peralatan pejabat yang lain, aku kembali menghadap komputer sambil mencari dan menerawangkan fikiran untuk membaham segala idea yang berlegar dalam ruang udara yang sejuk dalam pejabat.  Apa isu hangat dan topik yang bagus untuk aku catat dalam TRAVELOG VOYAGER aku ini?

“Jom, minum!’

Aku tersentak.   Suara itu membuatkan aku tertoleh kepada pemiliknya. “Haa... Abang Kom.  Ada pun. Ingatkan tak datang tadi.” 

Aku senyum sambil angkat kening sebelah.  Reaksi yang biasa aku lemparkan kepada rakan sepejabatku yang mesra alam.

“Eh.... Ada kat belakang. Aku baru keluar dari Pantry.  Jom minum.” Katanya sambil menggaru-garu kepalanya yang licin kerana dibotakkan dua hari lepas.

“Katne?” soalku.

“Mana-mana pun boleh.”

“Seksyen Tujuh lah!” aku buat keputusan.

“Ok je .” katanya, masih dengan senyuman dari balik janggutnya yang tersikat rapi.

Dan kami berdua meninggalkan pejabat yang kebetulan pula kawan sepejabat yang lain muncul.  Ezar, juga merupakan pembantu di pejabat ini.  Setelah meninggalkan pesan dan Ezar pula sanggup jaga kaunter depan.  Maka kami dengan segera ke sebuah restoran di Seksyen 7.  

Nasi Goreng kampung dan Telur goreng mata kerbau.  Air minum hanya air suam kosong  Menu yang sangat aku gemari.  Sementara itu, Abang Kom hanya memilih menu dan menikmati keenakan Sup Soto dan Kopi O panasnya.

Usai doa makan dibaca, kami menikmati rezeki pagi itu sambil-sambil berbincang tentang sikap manusia yang terlalu tamak dengan harta dunia.  Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.    Pendapat Abang Kom tentang orang kaya yang tidak bersyukur dan orang kaya yang bersyukur sememangnya selari dengan pendapat ku.  Zakat dan Sedekah juga menjadi topik yang kami bincangkan yang akhirnya solusi dari apa yang kami bualkan semasa makan itu hanya bahawa untuk menjamin hak-hak orang ain dalan harta si orang kaya itu adalah dengan melalui Sedekah Dan Zakat.    Kerana manusia itu lupa adanya ‘Hak’ orang lain dalam harta serta wang ringgit yang diusahakannya sehingga menjadi kedekut dna tamak.  Lantaran itu orang kaya ini tidak mengeluarkan zakat dna sedekah kepada yang berhak.  Maka muncullah istilah si kaya bertambah kaya dna si miskin bertambah miskin.  Namun, kekayaan itu tanpa disedari oleh manusia akan mengundang bala bencana kepada pemiliknya.  Kerana harta yang tidka dizakatkan itu pasti akan ditarik oleh ALLAH dalam pelbagai situasi dan cara seperti dirompak, terbakar, dibunuh oleh penjenayah.  Kerana merekalah, penjenayah-penjenayah ini wujud.    Jadi yang bersalah di sini bukanlah penjenayah tetapi masyarakat yang memaksa penjenayah jadi penjenayah.    Apabila Isu GST muncul maka ini menjadi satu langkah yang bagus untuk Kerajaan mengagih-agihkan kekayaan dan harta kepada yang berhak diberi.    Jadi akan hilanglah istilah si kaya terus kaya dan si miskin terus miskin.  Yang ada nanti adalah keseimbangan ekonomi yang baik dan bermanfaat kepada kedua belah pihak. Tepat jam 9 pagi, kamu selesai makan dan kembali ke pejabat kerana ada lagi oarng yang belum bersarapan pagi itu.

Tiba di pejabat aku terus mengadap komputer melayari internet.  Cuba mencari beberapa keping gambar tentang masjid di Indonesia.  Sebuah masjid yang aku rasa unik Kubahnya. Masjid Lhokseumawe, Indonesia.

Esok Isnin, merupakan hari cuti Wilayah Persekutuan KL.  Dan hari Selasanya adalah cuti am Thaipusam 2015 (3 Feb 2015 - 4 Feb 2015). Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Pada hari Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalam zodiak Cancer. Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini. Tidak semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon sesuatu hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran.

Di Malaysia, hari Thaipusam merupakan cuti umum di beberapa buah negeri seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang. Pada 20 Januari 2008, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bercuti umum sempena hari Thaipusam. Negeri Pahang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah , Sarawak dan Melaka belum menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum. Sebagai rakyat satu Malaysia.  Maka haruslah bagi umat Islam menghormatinya.

Tamat waktu kerja aku bergegas balik.  Seperti biasa dalam rutin hidupku, aku membaca ayat-ayat khusus ketika masuk ke dalam rumah dna beri salam walaupun tiada sesiapa yang ada di dalam rumah.  Kerana yakin kalau bukan manusia yang sambut, para malaikat dna Jin-jin yang Islam pasti akan menyambutnya.   Ini juga memberikan aku satu keyakinan bahawa rumah kita ini juga ada penghuninya selain kita.  Khususnya Jin-jin yang belum kita ketahui apakah ia seagama dengan kita atau tidak.  Namun, sebagai umat Islam yang beriman kepada hal-hal Ghaib, makhluk Jin adalah makhluk yang sama seperti kita juga, memerlukan tempat tinggal, bekerja, berkeluarga, memerlukan makan dan minum, dan hal-hal lain yang biasa kita lalui.  Alhamdulilah setakat ini tiada lagi makhluk-makhluk Jin yang mengacau dalam rumah aku. Selagi mereka beradab dan berlaku sopan mereka aku benarkan saja duduk dan menghuni rumahku.  Rumahku besar dan banyak bilik, malah loteng atau ruang siling tempat simpan tangki air juga luas dan banyak tikus. Mereka boleh berkongsi dengan tikus-tikus yang tidak jemu-jemu berlari ke serata ruang siling ketika aku mahu beradu.   Sebagai Hamba ALLAH tiada apa yang perlu kita takutkan. Cukuplah ALLAH yang wajib kita takuti dalam hal Dosa dan wajib kita ingat dalam rasa cinta melalui zikrullah.  Makhluk lain, semuanya tiada kuasa dna lemah.  Allah Maha Berkuasa atas segalanya.

Hanya sahaja aku akan melaungkan azan dalam rumah setiap kali masuk waktu solat fardhu, itu kalau aku berada di rumah ketika waktu tersebut.  Kadang-kadang terasa jjuga meremang bulu tengkuk aku ketika berada dalam rumah. Namun aku tak hiraukan.  Kerana aku tahu Makhluk Halus itu ada di situ.  Aku hanya menguatkan zikirullah dalam hati dan memohon perlindungan kepada ALLAH dari kejahatan dan keburukan mereka.  Alhamdulillah, selepas sahaja aku kuatkan zikir dalam hati, perasaan seram itu hilang serta merta diganti dengan ketenangan.  Benarlah Firman ALLAH. ‘Dengan zikrullah, hati akan jadi tenang.’

Seperti biasa, setelah memastikan pintu utama telah dikunci, aku bergegas mengambil wuduk dan azan kemudian menunaikan solat Asar dengan tenang.  Usai berdoa aku mengemaskan sejadah dan menukar pakaian ke pakaian khusus untuk bersenam.  Senaman Yoga yang aku ubah-suai dengan menyerapkan posisi-posisi solat menjadi latihan rutin harianku ketika berada di rumah selepas Asar.   Dalam masa sejam aku mempraktikan keseluruhan posisi khusus senaman ini.  Peluh bagaikan air terjun mencurah-curah pada seluruh tubuhku.  Di akhir senaman, Set Pernafasan Cakra khusus aku praktikan untuk membangkitkan tenaga dalaman agar sentiasa sihat dan bertenaga.   Di akhir nafas aku, sujud ke arah Kiblat untuk sujud 5 minit, agar darah yang penuh oksigen itu sampai ke dasar dan ruangan otak. Sambil membaca Ummul Kitab dalam hati sebanyak 10 kali hinggalah aku terasa berada di awang-awangan lantaran oksigen memenuhi seluruh ruang kepala ku.

Aku akhir senaman khas itu dengan istighfar dan selawat.  Beberapa minit selepas itu aku meneguk segelas air suam.  Aku beredar ke dapur kemudiannya dan membuka peti ais.  Di dalamnya ada banyak bungkusan ikan yang sedia dimasak.  Kubuka salah satunya dan seekor ikan Kerapu yang dibekukan kelihatan dan menggamit seleraku.   Aku letak ikan beku itu dalam besen  berisi air suam.  Supaya cepat hilang kerasnya.  Malam ini aku memang terasa untuk makan protein sahaja.  Karbohidrat tidak diperlukan malam ini.  Cukuplah ikan itu dimasak stim.  Bersama sebiji Bawang Merah yang dihiris ke dalam kuah Kicap pekat pedas sudah cukup sebagai pencecah daging ikan Kerapu jenis Kerapu Bunga itu.

Usai solat Maghrib, aku mulai memasak ikan kegemaranku itu. Dalam beberapa minit kemudian ia sudah masak dna bersedia utnuk mengalas perutku yang sudah berkeroncong sejak dari tadi.  Sambil membaca buku novel Sains Fiksyen karangan seorang penulis tempatan, aku menghayati keeenakan daging ikan Kerapu yang sedap itu.  Kisah yang diceritakan dalam novel itu memang cukup merangsang kegilaan ku terhadap genre itu.  Sesuai dengan bakat yang dikurniakan oleh ALLAH kepadaku.  Selepas menghasilakn sebuha novel Sains Fiksyen beberapa tahun yang lalu, aku seakan-akan hilang semangat untuk menulis.  Aku tidak pasti mengapa tetapi yang nyatanya semangat membaca genre itu pula yang menguasaiku.

Ketika azan Isyak kedengaran dari arah Surau, aku menutup novel dan mengemaskan pinggan mangkuk yang aku gunakan itu.    Mencucinya dan meletakkannya di rak khas di ruang dapur.  Aku mengambil wuduk dan melontarkan azan Isyak di ruang tamu rumah aku.  Dengan suara yang sederhana kuat yang diiring perasaan khusyuk kepada Tuhan seluruh alam...

 

ALLAH MAHA BESAR... ALLAH MAHA BESAR...

AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN SELAIN ALLAH

AKU BERSAKSI BAHAWA MUHAMMAD ITU RASULULLAH

MARILAH MENUNAIKAN SOLAT

MARILAH MENUJU KEJAYAAN

ALLAH MAHA BESAR... ALLAH MAHA BESAR...

TIADA TUHAN SELAIN ALLAH

Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak mendirikan solat fardhu. Melaungkan azan juga adalah satu Fardu Kifayah bagi sesuatu kumpulan, dan tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan satu sunat aini atau, dan pahala sunat akan diperolehi apabila seseorang itu melakukannya. Bagi kaum wanita, disunatkan melakukan Iqamat sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah apabila meninggikan suara mereka.

 

Dan tidur itu lebih enak dalam doa kepada Tuhan...

HADIS DAN KISAH BELASAH DAN BUNUH SYAITAN JENIS JIN

  *HADITH 1   RASULULLAH SAW INGIN MENGIKAT JIN IFRIT* "Sesungguhnya jin ifrit telah meloncatiku semalam - atau beliau bersabda d...