Pak Kamat Menunggang Harimau
SUDAH lama saya tidak balik ke kampung.
Kalau tidak ada hal mustahak memang jarang saya balik. Lagipun ayah saya sering
mengirim surat memberitahu khabar berita di kampung. Bagaimanapun dalam bulan
Ogos 1975 saya balik juga menemui kedua orang tua. Tergerak saja hati saya mahu
balik menemui mereka.
Ketika
saya balik, emak saya masih dalam kesedihan. Hairan juga saya mengapa emak
dalam kesedihan kerana semasa mengirim surat ayah saya tidak ada memberitahu
apa-apa tentang berita tidak baik. Rupanya emak bersedih disebabkan dua ekor
lembunya mati. Seekor lembu dara tengah naik tubuh dan seekor lagi induk lembu
sudah dua kali beranak. Inilah yang menyedihkan emak saya. Dia memang sayang
pada binatang-binatang ternakannya. Emak pernah sugul sampai dua minggu kerana kucing
kesayangannya mati ditetak orang dengan parang. Sempat kucing itu balik ke
rumah dengan belakangnya terbelah akibat ditetak dengan parang. Emak terpaksa
membasuh luka kucing itu dan dibubuh ubat. Bagaimanapun dua hari kemudian
kucing tersebut mati juga kerana lukanya sudah berulat.
"Kalau
jual lembu tu, tak kurang dari tujuh ratus ringgit seekor." ujar emak
masih dalam kesedihan. "Tapi, bukan duitnya yang kita kenang. Mengapa
orang sampai hati menganiaya binatang…" tegas emak terharu dengan nasib
yang menimpa binatang ternakannya.
Misalnya
kucing kesayangan dia yang ditetak dengan parang itu. Apalah dosa kucing itu
sampai tergamak tangan manusia menetaknya dengan parang. Di manakah letaknya
perikemanusiaan sebagai makhluk yang termulia dijadikan Allah sehingga sanggup
melakukan perbuatan yang lebih hina dari seekor haiwan.
"Lembu
tu kena racun ke?" tanya saya perlahan. Emak tidak menjawab. Dia masih
menahan kesedihan akibat kematian dua ekor lembu itu. Memang emaklah yang
mengembala lembu tersebut. Emak ada memelihara enam ekor lembu. Dia tidak
melepaskan lembunya seperti kebanyakan lembu yang diternak di kampung kami.
Emak hanya menambatkan saja lembunya di tengah sawah kami yang tidak dapat
dikerjakan kerana tidak dapat bekalan air secukupnya. Tengahari emak akan
mengembala lembu-lembunya ke sungai untuk diberi minum. Kemudian ditambat
semula. Dalam satu hari itu emak perlu mengalihkan lembu tiga empat kali saja
ditambat ke tempat yang ada kawasan rumput. Jadi, adalah mustahil boleh termakan
racun lembu-lembu berkenaan.
"Boleh
jadi Cina meracun di kebun pisang agaknya." saya mengagak kalaulah benar
lembu-lembu itu termakan racun. "Kadangkala bekas dia meracun tu boleh
membahayakan kalau tak dicuci bersih…" jelas saya lagi.
"Racun
apa!?" ayah saya mendengus.
"Dua
gulung kawat mata punai sebesar tekoh dalam perutnya." beritahu ayah saya
terbatuk-batuk.
"Kawat
mata punai?!" saya kehairanan.
"Orang
Jabatan Haiwan yang belah perut lembu-lembu tu. Mereka tunjukkan kawat mata
punai tu…" kata ayah saya menahan perasaan terharu bila mengenangkan
peristiwa tersebut. Itulah yang menghairankan emak saya. Semasa dimasukkan ke
dalam kandang emak dapati semua lembunya sihat petang tersebut. Malamnya,
ketika ayah saya membetulkan unggun api, tidak ada tanda-tanda mencurigakan ke
atas semua lembunya. Esok paginya apabila ayah saya mahu ke kebun dilihatnya
seekor lembu sudah terkinjal-kinjal.
Ayah
saya cuba memulihkan dengan cara mendoakan pada garam. Tetapi dia tidak
berjaya. Sebab itulah ayah saya terus memberitahu Pejabat Haiwan Daerah. Kalau
tidak dapat dipulihkan pun, boleh juga dijual ke pasar sekiranya pihak Pejabat
Haiwan mendapati tidak ada penyakit. Ketika ayah saya membawa Pegawai Pejabat
Haiwan seekor lagi lembunya tergolek. Sempatlah ayah saya menyembelih kedua-dua
ekor lembu tersebut. Pihak Pejabat Haiwan mendapati tidak ada apa-apa penyakit.
Untuk mempastikan sama ada termakan racun atau tidak maka mereka pun membelah
perut lembu tersebut. Alangkah terperanjatnya mereka mendapati segulung kawat
mata punai sebesar tekoan air di dalam perut lembu itu. Kedua-duanya terdapat
segulung seekor yang sama besarnya. Setelah disahkan tidak ada termakan racun,
daging lembu dijual di pasar borong saja seratus ringgit seekor.
Tidakkah
menghairankan bagaimanakah segulung kawat mata punai sebesar tekoan air boleh
terdapat di dalam perut lembu. Kalau pun lembu makan menelan seperti ular tentu
tidak tertelan kawat mata punai seperti itu. Apa lagilah lembu makan mengunyah.
Tetapi bila memikirkan tentang kekuasaan Allah, maka tidaklah menghairankan.
Allah
Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, tentulah apa saja permohonan dari
makhluknya hatta dari syaitan pun akan dimakbulkanNya.
"Subhanallah..."
keluh saya apabila mendengar cerita dari ayah saya.
"Ah,
siapa lagi, tentu orang tu yang punya kerja!" ujar isteri saya pula,
geram.
"Jangan
menuduh!" ayah saya mengingatkan. "Kita tak boleh menuduh, kerana
kita tak tau..." jelasnya perlahan.
Isteri
saya terdiam. Dia sendiri tidak dapat mengawal perasaan bila mendengar cerita
tadi. Sudah kerapkali saya ingatkan dia supaya tidak mengesyaki orang apabila
menerima satu-satu musibah. Serahkan saja pada Allah menentukan yang hak dan
yang batil.
"Mujur
kena pada binatang…" emak saya pula bersuara. "Kalaulah terkena pada
manusia…" keluhnya terasa ngeri.
Memang
ngeri kalaulah segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam perut
salah seorang keluarga saya. Ini bukanlah kerja syaitan, tetapi kerja manusia
yang diperalatkan oleh syaitan. Lama saya terdiam memikirkan apakah tujuan
mereka melakukan kerja demikian. Apakah yang menyebabkan orang sakit hati
kepada keluarga kami sampai sanggup membuat kerja-kerja yang tak berfaedah.
Takdirnya
salah seorang keluarga saya menderita akibat perbuatannya, apakah faedah yang mereka
perolehi? Disebabkan fikiran mereka tidak sampai ke situlah maka mereka
tergamak melakukannya. Mujurlah Allah masih memberikan pertolongan kepada
hambaNya yang lemah. Allah menggelincirkan matlamat orang yang mempunyai
perasaan irihati itu dan menyebabkan lembu menjadi sasaran. Sudah tentulah
matlamat awalnya ialah dua orang dari keluarga saya.
"Dia
nak tujukan pada ayah dan kau..." beritahu ayah saya apabila emak dan
isteri saya sudah masuk ke dalam. Saya hanya mengangguk-angguk saja. Ini adalah
sebahagian dari dugaan kepada mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah. Musuh
sentiasa berada di sekeliling pinggang. Kebanyakan musuh-musuh itu adalah
terdiri dari manusia biasa yang diperalatkan oleh syaitan. Mereka yang
mengamalkan ilmu-ilmu syaitan sentiasa panas miang seperti terganggang ke api,
apabila terserempak dengan mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah. Sebab
itulah mereka tidak senang diam apabila keadaan mereka terancam.
"Kalau
kau nak tengok sendiri, cubalah..." ujar ayah saya, tersenyum. Saya tahu
maksudnya menyuruh saya melakukan pengubatan cara tidur itu.
"Tak
payahlah…" sahut saya menyesali kejadian yang menimpa di tengah keluarga
saya. "Perkara dah lepas, sudahlah…" ujar saya selanjutnya.
Saya
percaya dengan kata-kata ayah saya bahawa ada orang berniat tidak baik kepada
diri saya dan ayah saya. Seperti saya katakan tadi, Allah telah menolong
hambaNya yang lemah dari dianiaya. Maka itulah sasaran orang berniat jahat
tidak tepat, lalu terkena kepada dua ekor lembu. Sebenarnya kalau Allah mengizinkan
perbuatan mereka adalah tidak mustahil kalau sasarannya mengenai kami berdua.
Ayah saya sendiri pernah menerima akibat dari perbuatan orang yang tidak
menyenanginya. Kisahnya berlaku semasa saya masih kecil lagi dan arwah Tok Aji
iaitu Tok Aki saya masih hidup lagi.
Di
kampung ayah saya dikenali dengan panggilan Bilal Hud kerana dia menjadi bilal
di surau kampung itu. Untuk menyara hidup masa itu ayah saya bekerja mengambil
upah membuat kerja-kerja bertukang. Pak Kamat telah mengajaknya mengambil
kontrak mengangkut pasir iaitu menggali sungai untuk membuat empangan air.
Ajakan Pak Kamat ini diterima oleh ayah saya, memandangkan mereka berkawan
baik. Dari segi umur memang Pak Kamat lebih tua dari ayah saya, tetapi mereka
berkawan baik kerana ada persefahaman. Sebenarnya Pak Kamat merupakan seorang
pawang terkenal juga. Seminggu mereka sama-sama bekerja mengangkut pasir,
tiba-tiba hujan panas turun. Pak Kamat mengajak ayah saya berteduh di bawah
rumpun buluh yang berdekatan.
Semasa
mereka berteduh di bawah rumpun buluh inilah ayah saya melihat Pak Kamat
berdiri secara tiba-tiba. Pak Kamat mendongak dengan muka meradang. Kemudian
segumpal asap berpusar-pusar di udara lalu tergendeng macam papan liang lahad
mahu menyerkup mereka berdua. Pak Kamat membaca menteranya dan dihembuskan ke
arah asap berkepul tergendeng macam papan itu. Kemudian papan itu berkecai
terus membentuk satu lembaga besar seperti orang berdiri terkangkang. Asap yang
berbentuk lembaga orang terkangkang itu terbatuk-batuk beberapa kali.
"Kau
jangan mungkir janji Kamat!" bentak lembaga itu keras.
"Janji
apa!?" sahut Pak Kamat mendongak ke langit kerana lembaga itu terlalu
tinggi seolah-olah kepalanya mencecah ke awan.
"Kau
tau janji kau aje, janji aku kau tak peduli..." dia menggertap bibir.
"Kamat!"
asap berbentuk lembaga menyeru namanya. "Jangan menyesal kemudian!"
katanya memberi amaran.
Asap
berbentuk lembaga itu hilang kemudiannya. Sebaik saja asap berbentuk lembaga
manusia itu hilang, hujan panas pun berhenti. Pak Kamat pucat setelah diganggu
oleh hantu tinggi yang menjelma tiba-tiba.
"Bilal
Hud, biarlah kawan balik dulu…" katanya perlahan dalam keadaan rusuh.
"Kalau
awak nak balik marilah sama, kalau nak habiskan kerja, suka awaklah..."
ujarnya semakin resah.
"Biarlah
kawan habiskan kerja ni dulu Abang Kamat…" sahut ayah saya.
Memang
ayah saya tidak mahu kerja bertangguh-tangguh. Kalau boleh dia mahu cepat
siapkan. Lagipun Pak Kamat sudah berjanji membayar wang secara berkongsi
mengenai kerja kontrak mengangkat pasir itu. Ayah saya pula menjadi kepala
(ketua) beberapa orang lagi pekerja di situ. Sebab itu ayah saya tidak boleh
balik bagi mengawasi mereka yang bekerja.
"Kalau
begitu biar kawan balik, kawan rasa tak sedap badan…" ujar Pak Kamat serba
salah mengingatkan kejadian yang baru menimpa dirinya tadi. Sebenarnya semasa
hantu tinggi menjelma dalam bentuk kepulan asap tadi, tidak siapa pun menduga
ianya sedang berbalah dengan Pak Kamat. Ayah saya sendiri tidak tahu. Begitu
juga dengan pekerja-pekerja yang mengangkut pasir seramai sembilan orang itu,
mereka juga tidak tahu kejadian yang menimpa Pak Kamat sebentar tadi.
Setelah
Pak Kamat balik, mereka semua meneruskan kerja menggali sungai dan mengangkut
pasir bagi tujuan membuat empangan air. Projek empangan air itu dibuat zaman
penjajah bagi membekalkan air ke sawah-sawah. Kerajaan orang putih ketika
itulah memberikan kontrak tersebut kepada Pak Kamat. Apabila balik ke rumah Pak
Kamat masih tidak dapat melelapkan mata semalaman itu. Walaupun dia seorang
pawang terkenal tetapi keadaan yang dialaminya sekarang sukar untuk diatasi.
Sebagai
seorang pawang memanglah caranya bersahabat dengan jenis-jenis syaitan seperti
hantu tinggi. Kalau dia tidak memenuhi kehendak sahabatnya maka dirinya atau
keluarganya akan menerima padah. Dia mesti memenuhi kehendak sahabatnya bagi
membolehkan sahabatnya sentiasa mendampingi dia. Mudahlah dia memenangi hati
Tuan Pegawai Daerah mendapatkan kerja-kerja seperti menggali sungai itu selagi
sahabatnya sentiasa berdamping.
Puas
dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah tersebut.
Kesalahannya pada sahabatnya kecil saja, tetapi bagi sahabatnya adalah besar.
Sebenarnya dia terlupa membuat Semah semasa memulakan kerja seminggu sebelum
itu. Pak Kamat tidak menyembelih kambing sebagai Semah dan menyimbahkan darah
kambing di kawasan tempat kerja. Semah inilah kononnya yang dituntut oleh
sahabatnya. Apabila dia tidak melakukan Semah maka galang gantinya adalah nyawa
manusia. Inilah yang menyulitkan Pak Kamat. Sudah tentulah korban yang
dikehendakinya itu salah seorang dari pekerja di situ. Mungkin ada malapetaka
yang menimpa pekerja-pekerja seramai sembilan orang, sama ada tergelincir mati
lemas di dalam sungai, sama ada terkena cangkul, dan sebagainya. Pak Kamat
tidak mahu pekerja-pekerjanya menjadi mangsa ketika membuat kerja-kerja
tersebut.
Esoknya
Pak Kamat datang juga ke situ. Dia telah memberitahu ayah saya mengenai masalah
dirinya. Memang kepada ayah sayalah dia meluahkan masalah dia. Sebab itulah
persahabatan mereka sangat baik.
"Susah
betul hati kawan, Bilal Hud..." keluhnya bila mengenangkan amaran hantu
tinggi yang direnungnya semalam.
"Awak
yang salah, ade kah hantu dibuat sahabat…" ujar ayah saya bergurau.
Sebenarnya ayah saya tidaklah percaya sangat dengan perkara-perkara demikian.
Dia hanya menganggap tahyul saja.
"Ini
bukan main-main Bilal…" tegasnya, meyakinkan hati ayah saya.
"Beginilah
Abang Kamat..." ayah saya masih juga bergurau kerana disangkanya Pak Kamat
terlalu percaya dengan perkara tahyol. "Kalau dia nak sangat, suruh ajelah
jumpa kawan..." katanya tersengih-sengih.
"Awak
jangan cakap macam tu Bilal…" Pak Kamat mengingatkan. Mukanya menjadi
pucat bila mengenangkan sahabatnya menuntut janji itu. "Kawan bukan cakap
main-main. Ini perkara tak boleh main-main Bilal..." ujarnya.
Ayah
saya tetap dengan pendiriannya menganggap tahyul saja perkara-perkara yang
dihadapi oleh Pak Kamat. Dia percaya disebabkan Pak Kamat terlalu percaya
kepada tahyullah menyebabkan dirinya sentiasa dibayangi oleh khayalan tahyul
itu. Bagi Pak Kamat tentulah sukar mahu menerangkannya bila ayah saya tidak
percaya akan kata-katanya.
Hari
itu sekali lagi hujan panas turun. Semua pekerja berlindung di bawah rumpun Aur
berdekatan. Sekali lagi Pak Kamat melihat kepulan asap datang dan terdiri
lembaga manusia yang tinggi, kepalanya sampai mencecah ke awan. Seperti semalam
juga lembaga itu datang menuntut janjinya. Ketika ini Pak Kamat teringat akan
kata-kata ayah saya mahu bertemu dengan sahabatnya itu. Tetapi Pak Kamat tidak
sampai hati mahu memberitahu perkara tersebut. Lagipun dia sudah lama berkawan
dengan ayah saya. Hubungan mereka sudah macam adik beradik. Dia tahu ayah saya
cuma bergurau saja semasa bercakap demikian.
"Awak
berilah kawan berfikir sehari dua..." Pak Kamat menengadah hantu tinggi
yang menjelma dalam kepulan asap.
"Awak
nak suruh Bilal Hud lawan kawan?!" jerkah lembaga tersebut marah.
"Heh, awak jangan macam tu!" terkejut juga Pak Kamat kerana lembaga
itu dapat mengagak apa yang tersirat di hatinya.
"Awak
jangan nak menipu kawan, Kamat." bentaknya semakin marah. "Fasal
Bilal Hud awak lupa beri kawan makan..." dia mengingatkan Pak Kamat lagi.
"Awak jangan mungkir janji, Kamat. Nanti awak juga yang susah!" tegas
lembaga itu memberi amaran.
Pak
Kamat bertambah gementar. Dia semakin takut mendengar amaran yang diberikan.
Selama ini dia sentiasa mematuhi apa saja kehendak sahabatnya. Dia tahu
padahnya kalau membantah. Memang perkara ini tidak dapat diterangkannya kepada
sesiapa saja, kerana pertemuan dia dengan sahabatnya tidak dapat disaksikan
dengan pancaindera biasa. Tentulah semua orang menganggapnya tahyul belaka,
seperti ayah saya menganggap dia.
Bagaimanapun
orang-orang kampung hairan juga melihat keadaan dirinya. Walaupun umurnya sudah
meningkat lebih lima puluh tahun, tetapi susuk badannya masih tampan. Malah,
dia kelihatan seakan-akan sebaya dengan anak lelakinya sendiri yang sudah
berumur tiga puluh tahun. Dia juga boleh mengangkat barang yang berat-berat
seperti batang sagu yang tidak dikerat-kerat, kayu tiang jambatan dan
sebagainya. Kekuatan dan ketampanannya memang mengkagumkan orang. Tetapi orang
tidak tahu rahsia di sebalik kekuatan dan ketampanan dia selama ini.
"Fasal
Bilal Hud, awak lupakan kawan!" bentak lembaga tinggi di dalam kepulan
asap itu.
"Bukan,
dia tak ada kena mengena!" Pak Kamat mempertahankan ayah saya.
"Kalau
awak tak berkawan dengan dia, tentu awak tak lupa nak beri kawan makan..."
katanya mengingatkan Pak Kamat.
"Tidak,
bukan salah dia!" ujar Pak Kamat serba salah. "Kawan yang salah.
Berilah kawan tempoh berfikir sehari dua lagi…" jelasnya cuba
mententeramkan kemarahan sahabatnya itu.
Selepas
itu asap berkepul itu hilang dari pandangan mereka yang sama-sama berteduh di
bawah rumpun Aur. Mereka tidak sedar bahawa kepulan asap itu ialah jelmaan
hantu tinggi yang hanya dapat dilihat oleh Pak Kamat. Setelah kabus tebal itu
hilang, hujan panas juga turut berhenti. Mereka kembali membuat kerja
masing-masing. Seperti semalam juga Pak Kamat balik dulu kerana tidak sihat
badan. Ayah saya terus menggantikannya mengawas pekerja-pekerja.
"Kalau
kawan tak datang esok, awak sajalah teruskan, Bilal…" pesannya semasa
mencapai basikal untuk balik ke rumah. "Kalau Abang Kamat tak sihat,
berehatlah di rumah dua tiga hari dulu..." beritahu ayah saya. Kesihan
juga dia melihat Pak Kamat seperti orang tidak siuman setiap kali hujan panas
turun.
Esoknya
memang Pak Kamat tidak datang. Ayah saya menjangka tentulah Pak Kamat sakit.
Sejak semalamnya lagi dia sudah melihat Pak Kamat tidak cukup sihat. Mukanya
pucat dan sentiasa rusuh tidak tenteram. Bagaimanapun kerja-kerja menggali
sungai diteruskan juga. Ayah saya mahu kerja-kerja itu disiapkan seperti yang
telah dijanjikan. Paginya apabila dia dan pekerja-pekerjanya sampai di tempat
kerja didapati pasir yang sudah dinaikkan ke tebing semuanya sudah ditolak
semula ke dalam sungai. Pasir sudah bertimbun semula di dalam sungai.
Sekurang-kurangnya memakan masa seminggu untuk mengangkutnya naik ke tebing
semula. Bermakna kerja mereka bertambah lewat seminggu.
"Macam
mana ni Bilal?" salah seorang yang bekerja di situ bernama Usin Rimau
bertanya. Hairan juga dia bagaimana pasir-pasir tersebut boleh dikaut semula
masuk ke sungai. Kalau kerja manusia tentu sekurang-kurang tiga puluh atau
empat puluh orang yang melakukannya. Ayah saya juga hairan. Bagaimanapun dia
menyuruh mereka semua mengangkut semula pasir naik ke tebing.
"Susah
kita macam ni, Bilal." kata Usin Rimau lagi.
"Kita
buat ajelah kerja kita..." ayah saya mententeramkan pekerja-pekerja yang
naik radang melihat keadaan tersebut.
Hari
itu mereka terus bekerja seperti biasa. Terpaksa bersusah payah mengangkut
semula pasir naik ke tebing. Sama ada lambat atau cepat siap kerjanya mereka
sudah tidak peduli lagi. Tetapi yang bermain di fikiran mereka siapakah punya
angkara yang melakukannya. Petangnya apabila mereka balik ke rumah semua
perkakas-perkakas kerja mengaut semula pasir di tebing ke dalam sungai.
Tetapi
anehnya apabila mereka datang lagi esok paginya, semua pasir yang ada di tebing
sudah dikaut ke dalam sungai. Ayah saya mula mengesyaki sesuatu. Tidak mungkin
ianya dilakukan oleh manusia. Adalah mustahil manusia datang pada sebelah malam
semata-mata mahu mengaut pasir di tebing dimasukkan ke dalam sungai.
"Tak
apalah petang nanti aku jumpa Pak Kamat." ujar ayah saya kesal dengan
kejadian tersebut.
"Lebih
baik kita intai saja malam ni, Bilal." Usin Rimau mencadang. Geram juga
dia kerana ada orang berani mengganggu kerjanya. Kalau berani mengapa tidak
berani melakukan ketika semua pekerja-pekerja ada di situ. Mengapa mesti
bersembunyi kalau mahu tunjuk keberanian?
"Awak
semua letih..." ayah saya tidak mahu menyiasatnya. Dia bimbang kalau
bertemu dengan orang yang melakukan tentulah terjadi pergaduhan. Masakan
pekerja-pekerja yang sudah berpenat lelah itu dapat menahan sabar, bila ada
orang cuba mengkhianati kerja mereka.
"Awak
semua letih, buat apa nak berjaga-jaga malam hari. Ini semua kerja aku dengan
Pak Kamat, serahkan saja pada kami." kata ayah saya meminta Usin Rimau
bertenang.
Tempat
mereka mengangkut pasir itu memang jauh dari kampung, kira-kira sebatu jaraknya
ke pinggir hutan. Sudah tentulah bukan kerja orang-orang yang tinggal di
kampung mahu ke situ semata-mata mahu mengkhianati kerja mereka. Lagipun siapa
orang yang berani memperolok-olokkan kerja Pak Kamat, kerana mereka semua tahu
projek mengangkut pasir itu kepunyaan Pak Kamat.
"Kawan
seorang pun sanggup mengintainya, Bilal..." Usin Rimau menggertap bibir
sambil menggenggam hulu parangnya. "Biar malam ni kawan intai, kawan nak
lihat jantan siapa berani mengganggu kerja kita." ujarnya bersemangat.
Semua
pekerja-pekerja itu sanggup menyiasat siapa yang mahu melakukan kerja mengaut
semula pasir ke dalam sungai. Mereka serentak bertekad akan menentang musuh
yang mengkhianati mereka. Soal sudah letih kerana bekerja seharian tidak perlu
difikirkan. Mereka tidak mahu tenaga mereka menjadi sia-sia akibat perbuatan
orang yang mengkhianat. Mahu tidak mahu ayah saya terpaksa mengalah. Dia juga
bersetuju untuk sama-sama menyiasat. Kalau kerja manusia, apakah tujuan mereka
melakukannya? Siapakah yang menyuruh? Apakah faedahnya? Adakah mereka mendapat
keuntungan apabila mengganggu kerja-kerja tersebut.
Kalaulah
kerja itu cepat siap tentu semua orang kampung akan senang. Kerajaan akan
membina empangan batu di situ yang boleh menampung pengairan ke sawah meliputi
satu mukim yakni termasuk beberapa kampung seperti Kampung Tegom, Kampung
Gasing, Kampung Cendak, Kampung Lepam, Kampung Tangah dan Kampung Hilir.
Pesawah-pesawah tidak perlu lagi menggunakan empangan papan menampung air dari
anak-anak sungai kecil bagi mendapatkan bekalan air.
Kadangkala
terpaksa berkongsi tujuh lapan orang untuk membina empangan papan. Sawah mereka
juga kekurangan air kecuali di bahagian berhampiran dengan anak-anak air.
Tetapi rancangan mendirikan empangan batu itu boleh mengairkan kawasan tinggi,
yang selalunya tidak dapat ditanam padi kerana tidak dapat air. Alangkah
baiknya kerja-kerja untuk mempercepatkan pembinaan empangan batu tersebut.
Sebab itu ayah saya tidak percaya orang-orang dari kampung yang melakukannya.
Walau bagaimanapun kerana Usin Rimau dan kawan-kawannya sanggup menyengkang
mata untuk menyiasat, ayah saya juga bersedia mengikut kemahuan mereka. Di
samping itu mereka juga tidak mahu memberitahu Pak Kamat, kerana orang tua itu
masih tidak sihat. Mereka tidak mahu mengganggu Pak Kamat, mana tahu
penyakitnya akan bertambah teruk bila mendengar kejadian yang menimpa
pekerja-pekerjanya.
Kira-kira
jam 11 pagi hujan panas turun lagi seperti beberapa hari sebelumnya. Mereka
semua berteduhan di bawah rumpun aur yang berhampiran di situ sementara
menunggu hujan panas berhenti. Tidak lama kemudian ayah saya merasa sakit
kepala. Dia memberitahu Usin Rimau kepalanya terlalu sakit bagaikan ditusuk
dengan besi tajam. Tiba-tiba saja ayah saya pengsan tidak sedarkan diri
menyebabkan semua pekerja-pekerja kelam-kabut. Sebaik saja hujan panas berhenti
Usin Rimau pun menyuruh kawan-kawannya tinggalkan saja kerja dan membawa ayah
saya balik ke rumah. Sampai di rumah ayah saya masih belum sedarkan diri. Satu
hari satu malam keadaannya tetap tidak berubah. Memandangkan keadaan semakin
tenat, nenek saya menyuruh panggilkan saja Pak Kamat. Cuma Pak Kamat saja di
kampung itu yang dikenali sebagai pawang. "Pak Kamat pun sakit..."
beritahu Usin Rimau. "Kalau begitu panggilkan Mahat" kata nenek saya
seterusnya. "Agaknya Mahat boleh mencuba-cubakan..." jelasnya supaya
diberitahu segera Pak Tua Mahat saya, iaitu anak nenek saya yang tua.
Dalam
masa Usin Rimau masih teragak-agak mahu memanggil Pak Tua Mahat, Tok Aji pun
sampai bersama nenek saya sebelah ayah. Mereka berdua sudah pun diberitahu
mengenai ayah saya yang tiba-tiba saja pengsan.
"Macam
mana anak kita ni besan?" tanya Tok Aji pada nenek saya.
"Entahlah
Aji..."sahut nenek saya rusuh. "Kena dekat tempat dia mengangkut
pasir itulah. Tak semena-mena hujan panas kata Usin, lepas tu teruslah dia tak
sedar diri." beritahu nenek.
Tidak
lama kemudian Usin Rimau pun terus memanggil Pak Tua Mahat. Apabila dia sampai
nenek pun menyuruh Pak Tua Mahat mengubati ayah saya yang terlantar tidak
sedarkan diri.
TAMAT
*Untuk
Arwah, ABDUL MULUK BIN DAUD @Tok Awang Ngah… AL-FATIHAH