Thursday 21 October 2021

SALINA : SEBUAH NOVEL LAMA DAN ANTARABANGSA

 

Shah Alam, Oktober 2021

*Pink Floyd - " PULSE " Live 1994 Remastered

 

PADA suatu petang hari Jumaat dalam bulan Ogos yang mendung dan hawa yang agak sejuk mencengkam kulit, aku disoal oleh orang rumah dengan satu soalan yang benar-benar membuatku terasa bagaikan orang mengantuk disorong bantal.  Soalan yang benar-benar buat aku teruja dan tak selesa duduk menonton sebuah drama barat Son Of Anarchy.  Tumpuan aku hilang serta-merta sebaik sahaja soalan itu bergema di ruang diriku yang betul-betul kekosongan idea dan menghadapi jalan buntu dalam penulisan yang sedang aku usahakan.  Aku tidak akan melupakan soalan yang benar-benar membuatkan bulu roma aku meremang tidak menentu.  Bagaikan terserempak dengan Langsuir atau Jembalang Tanah di tengah jalan pada waktu malam yang sunyi, aku beliakkan mata memandang orang rumah. Dada-dada bagaikan disentap sesuatu. Ia bergetar laju seiring dengan perhatianku pada kata-katanya.

“Abang nak buku-buku lama tak?  seketika itu juga aku tergamam.  Terkelu seketika.  Namun, aku tidak akan menjadi seperti kera mendapat bunga.  Itu bukan sikap dan sifat perwatakanku. Aku adalah aku, si penggila buku dan sastera lama.  Tidak bertangguh aku terus mengangguk dan bersuara.

“Buku-buku lama? Novel?” soalku, mataku buntang merenung wajah comel orang rumah.

 “Entah, macam-macam buku lama dalam stor tu, mak nak buang buku-buku tu.  Baik abang pergi tengok dulu.  Mana tau ada yang abang berkenan.  Sayang pula kalau dibuang macam tu saja.”

Aku tidak menunggu lama.  Drama SOA aku tinggalkan dan terus menapak laju ke tangga menuju ke stor yang terletak di ruang khas, sebelah atas rumah.  Biasanya stor berada di bawah.  Tapi entah kenapa stor di rumah mentua letaknya di atas.  Aku cepat-cepat melangkah ke atas dengan debaran dada yang tidak kunjung reda. 

Dalam stor,  aku lihat terlalu banyak perabot dan barang-barang lama yang tersusun agak kemas dan rapi.  Aku mencari objek yang menjadi sasaranku.  Di situ, di hujung ruang bilik yang tidak berapa besar kelihatan rak kecil setinggi pinggang dan mempunyai tiga tingkat ruang rak yang penuh dan sarat dengan buku-buku perlbagai saiz.  Tebal, nipis, Panjang dan pendek tersusun cukup kemas di setiap tingkat rak.  Satu-persatu aku punggah dan letak di atas lantai.  Ada bermacam-macam buku novel lama-lama.  Semuanya memang menarik dan punya nilai sejarah masing-masing.  Menarik dan aroma bau hapak buku yang betul-betul menggiurkan.  Aku nanar seketika. 

Ada novel dalam Bahasa Inggeris dan paling banyak novel-novel lama Bahasa melayu.  Takkan nak buang semua buku-buku ini?  Sayang dan memang rugi kalau dibuang walaupun satu dari sekian banyak buku-buku lama itu.  Akhirnya aku buat keputusan segera.  Tekad, aku nak semua buku-buku lama itu. Dalam banyak-banyak buku itu, aku temui satu buku yang sederhana besar bertajuk ‘SALINA’ oleh A. Samad Said.  Wah…  bagaikan mendapat durian runtuh.  Satu novel lama yang betul-betul mengujakan. Aku tidak pernah membacanya. Namun, aku pernah mendengar tajuk novel tersebut. Entah kenapa aku betul-betul berminat untuk membacanya. Malangnya,  satu pertiga dari muka surat buku itu telah hilang.  Kebetulan pula muka surat yang hilang itu betul-betul berada di permulaan bahagian akhir.  Huh, sayangnya…  mungkin tidak puas membacanya kalau demikian.  Begitulah fikiranku pada waktu itu. Namun, aku tidak peduli pada akhirnya.  

Buku-buku lama itu aku sumbat sahaja dalam kotak dan bawa balik ke rumah. Dan Novel pertama yang aku baca sesudah itu adalah novel Salina. Bertemankan secangkir kopi pekat ekstrak Kayu manis panas, aku duduk menikmati bacaan dengan penuh teruja, tenggelam dalam sofa lama yang sudah berhabuk di bahagian bawahnya….

 




Kisahnya…

Mengenai Kampung Kambing ketika  perang dunia kedua di Singapura. Antara penghuninya yang tinggal di kampung ini ialah Siti Salina dan kekasihnya Abdul Fakar, Hilmy dan ibunya, Kadijah, Zarina, seorang janda serta anak tirinya iaitu Nadihah, Mansur dan Sunarto, anak yang dipungut oleh arwah bapa Nadihah, serta Haji Karman. Latar tempat dalam novel ini ialah di Singapura. Tempat ini digelar Kampung Kambing kerana penduduk di kampung ini tinggal di kandang kambing yang disewakan oleh seorang lelaki india yang bernama Kurupaya. Salina adalah seorang pelacur yang menyara dan memelihara Abdul Fakar yang malas bekerja dan sering meminta duit daripada Salina untuk pergi berjoget dan minum arak.

Abdul Fakar seorang yang suka mabuk, gila perempuan dan suka memukul Salina. Walaupun di pukul, Salina tetap menyayangi Abdul Fakar kerana wajah Abdul Fakar seiras dengan wajah arwah kekasihnya yang mati dalam peperangan iaitu Muhammad Yusuf. Salina asalnya adalah anak orang kaya. Walau bagaimanapun, selepas berlakunya perang dan keluarganya terkorban, dia terpaksa menjadi pelacur untuk menyara kehidupan seharian. Hilmy, seorang remaja yang masih bersekolah sering mendapat bantuan kewangan daripada Salina untuk membeli buku dan ubat untuk ibunya yang sering sakit. Bantuan ini dilakukan tanpa pengetahuan Abdul Fakar. Ibu Hilmy, Kadijah, banyak menasihati Salina supaya menyimpan wang untuk masa depan kerana Abdul Fakar tidak boleh diharapkan.

Kisah dalam novel ini juga banyak menyentuh tentang Nadihah yang dipaksa oleh ibu tirinya untuk menjadi pelayan tanpa kemahuannya. Ini disebabkan Sunarto gagal memberikan wang perbelanjaan yang cukup kepada Zarina. Walaupun Sunarto sering dihalau di hadapan penduduk kampung berkali-kali, Sunarto enggan keluar daripada rumah kerana dia tidak mahu meninggalkan Nadihah yang sering di usik oleh Abdul Fakar. Abdul Fakar pernah membuat perkara sumbang terhadap Nadihah. Namun, Salina tidak mengetahuinya, begitu juga dengan Zarina, ibu tiri Nadihah. Hilmy kemudiannya jatuh cinta terhadap Nadihah semasa dia mengikuti kursus latihan tentera. Mereka jatuh cinta apabila sering berbalas surat. Hilmy meminta Nadihah membacakan surat untuk ibunya kerana ibu Hilmy buta huruf.

Persahabatan antara Nadihah dan Hilmy tidak di ketahui oleh sesiapa. Dalam masa yang sama, Abdul Fakar sering mengapi-apikan Zarina supaya menghalau Sunarto keluar rumah. Dengan itu, dia lebih mudah merapati Nadihah. Sunarto ialah satu-satunya batu penghalang kepada niat buruk Abdul Fakar terhadap Nadihah. Zarina yang termakan fitnah Abdul Fakar sering menghalau Sunarto dan Mansur. Zarina menghalau Mansor, abang Nadihah kerana dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan walaupun puas mencari. Akhirnya, Mansur lari dan memasuki tentera. Tinggallah Nadihah. Satu malam, Nadihah telah di culik oleh Abdul Fakar atas arahan Cik Salim, seorang lelaki yang gilakan Nadihah. Sebelum ini Nadihah telah banyak kali menolak permintaan Cik Salam untuk duduk di pangkuannya dan melayan dia.

Nadihah mabuk pada suatu hari dan telah di nodai. Dia lari meninggalkan Singapura dan tidak berapa lama kemudian berkahwin dengan seorang buruh. Hilmy sedih kerana kehilangan Nadihah. Salina pula melarikan diri ke Kelantan untuk melupakan Abdul Fakar kerana Abdul Fakar telah menghalaunya keluar dari rumah sedangkan rumah itu adalah rumah Salina. Abdul Fakar gilakan seorang perempuan joget. Ibu Hilmy meninggal dunia akibat sakit. Hilmy pula tidak menyambung pelajaran kerana ketiadaan wang . Tidak lama kemudian, Hilmy cuba menjejaki Salina di Kuala Lumpur tapi diberitahu oleh Mansur yang Salina sudah pulang ke Singapura.

Abdul Fakar belayar kembali kerana dia gagal mencari Salina. Dia baru mengetahui bahawa Salina betul-betul sayangkan dia setelah di tipu oleh perempuan joget. Hilmy kembali ke Singapura untuk bertemu Salina.

 


Penulis

Abdul Samad bin Muhammad Said (lahir 9 April 1935)[1][2] ialah seorang penulis dan penyair Malaysia. Pada Mei 1976, beliau dinamakan oleh komuniti kesusasteraan Malaysia dan banyak ahli bahasa negara sebagai Pejuang Sastera dalam dekad berikut, di Anugerah Penulis S.E.A. 1976 dan, pada tahun 1986, sebagai penghargaan tulisan dan sumbangan berterusannya kepada warisan sastera negara, atau Kesusasteraan Melayu, Sasterawan Negara.

 

Novel Salina,... Harta Warisan negara yang perlu dijaga selamanya...  memandangkan banyak muka surat yang hilang.  Maka aku perlu membeli senaskah cetakan baru.  Aku telah mensasarkan tempat aku untuk membeli naskah tersebut.   Alang-alang dah baca hampir 2/3. maka naskah terbaru itu wajib aku perolehi... 


Salam…

 

Ruj:

https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/09/606420/enam-dekad-salina-samad-said-terus-diminati

https://ms.wikipedia.org/wiki/A._Samad_Said

http://karyaagungmelayu16.blogspot.com/p/novel-salina.html

https://tintabudi.com/products/copy-of-salina-a-samad-said-edisi-ulangtahun-ke-60

 

 

 

HADIS DAN KISAH BELASAH DAN BUNUH SYAITAN JENIS JIN

  *HADITH 1   RASULULLAH SAW INGIN MENGIKAT JIN IFRIT* "Sesungguhnya jin ifrit telah meloncatiku semalam - atau beliau bersabda d...