Saturday, 16 October 2021

NOVEL FANTASI : PAHLAWAN ADAMUS


SEBUAH DUNIA IMAGINASI MENJADI NYATA

Semuanya bermula ketika dia terjumpa sebuah buku. Buku itu membawanya ke alam yang tidak terduga. Alam ini menemukannya dengan maharaja yang amat jahat. Juga menemukannya dengan sumpahan keras yang amat zalim.

Namun dia langsung tidak menduga tatkala penghuni alam itu memandangnya sebagai penyelamat. Maka bermulalah kembaranya merentas alam fantasi itu mencari satu-satunya pedang yang boleh membunuh maharaja zalim itu.

Kembara ini tidak semudah yang disangka. Makhluk mistik, ahli sihir jahat dan gerombolan tentera musuh menanti. Namun dia dibantu teman-teman yang berjuang di sisi.

Gendang perang sudah dipalu. Terpulang pada Pahlawan Adamus untuk menamatkannya.

---


Intro

“Adamus… Adamus!”

Suara garau bergema di malam yang hening itu memecah kesedaran, sekali gus membangkitkan rasa seram dan takutnya. Suara itu acap kali bergaung dan didengarinya tanpa dijangka. Tiba-tiba sahaja suara itu seakan menggila dalam setiap ruang yang dilaluinya. Setiap helaian mimpi yang diterokanya, suara itu akan bergema menguasai gegendang telinga dan kesedarannya tanpa rasa belas dan tanpa mengira keadaan.

Ia akan menggila bagaikan gelombang ombak yang menggulung pantai. Menghempas ke gigi pantai dengan gagah. Bagaikan ada magnet di antara mereka. Di mana saja dia berada di situlah suara itu akan bergema memecah tabir-tabir mimpinya.


ALAM FIARA

Api yang marak kemerahan itu tiba-tiba sahaja bersinar terang bagaikan disimbah minyak. Cahaya terang berwarna hijau kemudiannya menggantikan cahaya api merah dan mula bersinar dengan denyaran tenaga yang menyakitkan telinga. Berdengung-dengung menguasai alam yang kian sunyi.

Pendeta Hoslis tersentak. Begitu juga Padawan Naldo. Masing-masing berkerut kening.

“Naldo!” Pendeta Hoslis merenung ke arah Padawa Naldo sekilas. Ada riak teruja pada wajah yang berumur dalam lingkungan 40-an itu. Kening putihnya hampir-hampir bertaut rapat.

“Petanda Arneus!” Bisikan Pendeta Biara Urtughul itu bergema seketika.

Padawa Naldo turut menyebut nama itu dengan berbisik, “Petanda Arneus?”

Pendeta Hoslis mengangguk sambil bergerak tidak sabar ke arah unggun api raksasa di tengah-tengah biara itu. Padawa Naldo mengekor dengan rasa ingin tahu.

“Dia sudah bertindak!”

“Dia? Dia siapa?”

“Tok Kiril sudah bertindak!”

Mereka berdua berdiri. Riak cemas dan teruja terpapar pada wajah mereka.

Padawa Naldo bersuara pelahan, “Api hijau akan menyala dan menerangi seluruh ruang Meus dan suara keadilan akan bergema di serata alam bersama gempita naga salji dari utara yang membaham kejahatan di selatan. Tanda ini adalah Pahlawan Adamus yang akan bangkit di akhir zaman Nirmala memusnahkan seluruh kejahatan. Bersamanya ada dua belas pahlawan yang terbilang daripada semua puak alam Fiara dan memusnahkan Maharaja Syaitan yang kejam.”

Pendeta Hoslis menoleh ke arah Padawa Naldo dengan wajah yang tenang tetapi menoleh kembali ke arah unggun api yang kini memancarkan warna kehijauan yang terang. Dia faham apa yang dikatakan Padawa Naldo itu. Semua kisah itu tercatat dalam Kitab Burqus. Kitab yang sudah berusia ribuan tahun itu mengungkapkan segala ramalan masa hadapan. Kitab Burqus disalin oleh Pendeta Herselis dari kitab tertua di alam Fiara.

“Benarkah Adamus akan muncul?”

Pendeta Hoslis menoleh ke wajah Padawa Naldo. Pembantu yang menghambakan dirinya dengan Biara Urtughul itu sedikit kurang yakin dengan apa yang berlaku di hadapan mereka. Mungkin kerana tidak menduga sama sekali ramalan dalam kitab Burqus itu adalah benar.

Pendeta Hoslis membuka jubah lusuhnya dan membusungkan dadanya ke arah Padawa Naldo.

“Lihat ini Padawa… lihatlah…”

Padawa Naldo segera mengalihkan pandangannya atas dada Pendeta Hoslis. “Tanda apakah ini?”

“Inilah tanda keramat pengikut Adamus, pahlawan akhir zaman itu.”

Mulut Padawa Naldo melopong seketika.  Lambang itu pernah dilihatnya dalam kitab tua sebelum ini. Dia atas dada Pendeta Hoslis terukir satu corak yang timbul dan berwarna hijau tua. Lambang itu memancar cahaya hijau, seolah-olah menyambut pancaran cahaya hijau terang dari unggun api raksasa di tengah-tengah biara itu.

“Apakah tuan… apakah…”

Pendeta Hoslis mengangguk, mengiakan apa yang berlegar-legar dalam benak Padawa Naldo.

“Tuan pendeta Hoslis adalah Pahlawan Adamus?” Ungkapan itu muncul kemudian dari mulut Padawa Naldo, menyambung suaranya yang tenggelam sebentar tadi.

“Bukan!” Pendeta Hoslis pantas menafikan. “Adamus akan muncul di timur bersama bintang terang Oriomus. Ketika itu Adamus bersama 12 orang pahlawan sakti bergerak bersama dari segenap penjuru menghapuskan kejahatan.”

Padawa Naldo tersentak. Tidak menyangka telahannya tidak mengena. Dia tunduk seketika dan mengalihkan pandangan ke tengah-tengah unggun api yang semakin terang cahayanya.

Beberapa saat kemudian cahaya itu perlahan-lahan malap. Pada masa yang sama angin bertiup kencang dari selatan membuatkan ruang biara itu dicengkam kesejukan dan denyar tenaga yang membingitkan telinga turut sama hilang perlahan-lahan.

“Esok aku akan ke utara!” Tiba-tiba Pendeta Hoslis bersuara dengan nada tinggi dan bersemangat. Padawa Naldo tersentak dengan kata-kata pendeta itu.

“Tuan pendeta ke utara esok?”

Pendeta Hoslis tidak menjawab sebaliknya mengangguk dengan tenang.

“Kalau begitu, aku… Padawa Naldo ingin ikut sekali!” Padawa Naldo pula tiba-tiba bersemangat mahu menyertai gurunya. Anak matanya menancap dengan girang pada wajah Pendeta Hoslis.

Pendeta Hoslis menoleh dan merenung wajah anak muda itu dengan pandangan yang sungguh bermakna. Kemudian dia mengangguk setelah agak lama memikirkan sesuatu. “Mungkin… ya… mungkin inilah takdir kamu, wahai padawa.”

Padawa Naldo mengangguk pantas dengan girang. Tanpa berkata apa-apa lagi dia menoleh dan berlalu keluar meninggalkan Pendeta Hoslis dengan pandangan yang mengandungi harapan dan hati yang penuh semangat teguh dan kukuh demi memenuhi takdirnya.

Esok akan bermulanya perjalanan yang akan menentukan nasib dunia Fiara yang sudah lama dicengkam tenaga kejahatan dari kegelapan itu. Esok juga dia akan tahu kebenaran ayahnya tentang ‘Pahlawan Adamus’ yang ditunggu-tunggu sejak dahulu lagi. Esoknya Pedang Ornalid akan keluar dari sarungnya demi berbakti kepada pahlawan ramalan itu.


Faizal tersentak dari tidurPeluh dingin membasahi seluruh tubuhnya. Mimpi itu datang lagi! Mimpi yang sama seperti hari-hari lalu. Jam digital di atas mejanya memaparkan angka dua pagi. Dia mengeluh. Gambaran ataupun mimpi itu berulang lagi pada waktu yang sama. Mimpi yang membuatnya berpeluh-peluh dan rasa takut yang didesak oleh mimpi yang sangat mengujanya dan mendebarkan.

Tiba-tiba pendengarannya menangkap sesuatu. Satu bunyi yang membuat telinga sangat sakit seakan-akan ditekan satu tenaga yang kuat. Tekanan itu semakin lama semakin kuat dan membuatnya mengerutkan dahi.  Dia memejamkan mata dan menarik nafas sedalam-dalamnya.

“Adamus….”

Sekali lagi nama itu disebut bersama desiran angin sejuk yang tiba-tiba menjalar ke dalam bilik tidur yang suram itu. Seluruh tubuhnya meremang, seram. Denyutan jantungnya melaju. Dia meliarkan mata dan merenung ke serata arah, cuba mencari kelibat ataupun mana-mana sumber yang memungkinkan suara itu bergema di dalam ruang biliknya.

Kesuraman bilik menyambut pandangannya sesaat. Kemudian tiba-tiba satu lembaga muncul dari kegelapan. Dia tersentak!

Di hujung biliknya ada satu lembaga hitam yang terbentuk dari kesuraman bilik. Hawa sejuk menyengat sumsum tulangnya, sehinggakan wap udara menyembur deras dari hidungnya tatkala dia menghembus nafas. Dia merenung lembaga itu dengan dada yang berdegup kencang.

“Adamus!”

“Hah?”

Sekali lagi dia tersentak. Pantas bangun cuba melarikan diri. Tubuhnya jatuh di atas permukaan lantai marmar yang sejuk. Dia mengaduh keras dan cemas lalu bangkit kembali dengan pantas sambil merenung ke serata arah.  Lembaga hitam itu hilang!

“Ah! Mimpi lagi rupanya…” Dengus nafasnya kedengaran lega.

Jam digital direnung sekilas. Jam 2 pagi!

Dia menggeleng kepala. Waktu itu berulang lagi. Waktu yang sama tatkala dia diserang mimpi itu. Gila! Sudah dua bulan dia mengalami mimpi itu. Hampir seluruh hidupnya kini semakin berubah dari sehari ke sehari.

Kerja-kerja di perpustakaan pun turut berubah. Dia tidak lagi dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kerja-kerjanya. Jika dia sempat melakukannya, dia akan buat. Tetapi dengan fikiran yang bercelaru dengan masalah peribadi dan mimpi-mimpi yang membuatnya tidak senang tidur, ia tidak memberinya peluang bagi melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

“Mimpi dalam mimpi… hum…”

 

---






gambar-gambar ketika promosi novel PTS suatu ketika dahulu(2010).




Ruj: 
https://pts.com.my/buku/pahlawan-adamus


 

No comments:

Post a Comment

HADIS DAN KISAH BELASAH DAN BUNUH SYAITAN JENIS JIN

  *HADITH 1   RASULULLAH SAW INGIN MENGIKAT JIN IFRIT* "Sesungguhnya jin ifrit telah meloncatiku semalam - atau beliau bersabda d...