SIRI BERKELAHI DENGAN SYAITAN
Pokok Petai Mencabar Bertarung
BARU saja mahu melelapkan mata isteri saya menggerakkan kerana ada orang memanggil dari tengah halaman. Dalam keadaan terkuap-kuap itulah saya memetik lampu lalu membuka pintu hadapan. Seorang lelaki separuh umur terkial-kial menupang motorsikal hondanya. "Maaflah ustaz saya mengganggu..." cepat-cepat dia bersuara sebaik saja pintu terbuka. Saya tersengih-sengih sambil terkuap-kuap. Mata memang sudah mengantuk walau pun baru pukul 10 lebih. Tetapi sudah menjadi kelaziman saya tidur awal sedikit kerana akan bangun semula pada tengah malam.
Bangun
tengah malam ini pun bukanlah dilakukan setiap malam, cuma saya lakukan apabila
malam Jumaat. Saya akan melakukan Sunat Tahjud diikuti dengan Sunat Tasbih
juga.
"Maaflah
ustaz" ulangi lelaki berkenaan.
"Tak
apa, silalah masuk..." saya mempelawanya. "Tak payahlah ustaz"
sahutnya terus mara ke pintu rumah saya. "Saya nak minta tolong pada
ustaz. Aki Sahak yang suruh panggil ustaz." katanya.
"Rumahnya
di mana?" tanya saya mahu mempastikan. Saya sendiri tidak berapa kenal
dengan lelaki berkenaan, tetapi rasanya dia lebih tua dari saya.
"Saya
Sonok dari Kampung Simpang" jelasnya menghulurkan tangan kepada saya.
"Petang tadi saya pergi ambil Aki Sahak di Mancis rumah anaknya. Aki Sahak
ada di rumah saya, tapi dia suruh panggil ustaz juga" dia
tersengih-sengih.
Berdebar
juga hati saya bila Aki Sahak meminta saya datang. Tentulah perkaranya besar
juga, kalau tidak masakan dia menyuruh Sonok mencari saya. Mujur juga Sonok
dapat mencari rumah saya di situ. Kalau sekadar gangguan syaitan Aki Sahak
tidak pernah memanggil saya. Dia sendiri boleh menghadapinya kalau ada orang
sakit diganggu syaitan.
Bagaimanapun,
saya tidaklah mahu bertanya kepada sesiapa pun mengenai tujuan mereka memanggil
saya. Memang sudah saya duga biasanya kalau orang mencari saya pada
tengah-tengah malam tentulah perkaranya ada pesakit yang memerlukan rawatan. Hairan
juga saya selama datang ke kampung itu, mereka sudah menganggap saya macam
bomoh. Berkali-kali saya memberitahu mereka saya bukanlah bomoh. Disebabkan
yang meminta saya datang itu Aki Sahak membuatkan saya serba salah. Nampaknya
saya mesti memikirkan perkara mahu bertukar dari situ, kerana bimbang orang
akan salah anggap. Nanti mereka menyangka saya seorang bomoh, sedangkan saya
tidak tahu apa-apa mengenai ilmu bomoh. Kalau saya tidak mahu datang apa pula
kata Aki Sahak. Sejak saya bertukar ke daerah itu, kerapkali sangat Aki Sahak
meminta saya membantu dia. Ingin juga saya membantah tetapi cepat-cepat dia
mengingatkan, "Kerja ni semua buat kerana Allah saja....".
Selepas
bersiap-siap memakai baju, saya pun terus membonceng motorsikal Sonok. Malam
gelap gelita tidak ada bintang-bintang di langit. Saya sampai di rumah Sonok
kira-kira jam 11 lebih. Aki Sahak sudah ada di situ duduk di hujung serambi.
Beberapa orang jiran Sonok juga ada di situ. Saya memberi salam ketika menaiki
tangga rumah. Kemudian bersalaman dengan mereka yang duduk di serambi.
"Terus
ke hujung ustaz, terus ke hujung." seorang lelaki tua menyuruh saya duduk
di hujung serambi dengan Aki Sahak. Kampung ini kira-kira empat batu jauhnya
dari tempat Aki Sahak tinggal. Semasa saya sampai itu mereka sudah bercerita
fasal anak Abang Amud yang tenggelam dalam lombong. Aki Sahak memberitahu
sayalah yang telah membantunya mencarikan mayat itu yang tenggelam di dalam
lombong.
Akhirnya
perhatian mereka sudah beralih kepada saya, bukanlah kepada Aki Sahak.
Sebenarnya Aki Sahak cuba mengelak-ngelak juga apabila dipanggil orang merawat
pesakit, tetapi kadangkala serba salah juga. Tidak heranlah mengapa bomoh-bomoh
terpaksa mengenakan bayaran kerana penat lelah mereka terpaksa berjaga hingga
jauh malam. Malah ada kalanya tidak cukup tidur sekiranya dipanggil orang.
Bagaimana kalau sampai pagi baru selesai kerjanya? Tentulah esoknya menjadi
letih dan mereka tidak dapat bekerja mencari rezeki nafkah hidup? Tetapi
kebanyakan orang menuduh bomoh-bomoh itu mementingkan wang semata-mata apabila
mengubat pesakit.
Bagaimana
kalau kami lakukan secara sukarela seperti Aki Sahak ini? Nampaknya senang saja
iaitu duduk sambil berdoa. Tetapi ketika berdoa ini mestilah dengan khusyuk
atau istilah moden 'kosentrasi', kadangkala terasa kepala bagaikan mahu pitam
kalau 'khusyuk' ini dilakukan sampai hampir satu jam. Inilah yang tidak
difahami oleh kebanyakan orang. Apabila saya bertukar ke daerah kecil ini Aki
Sahak terus meminta saya membantu dia.
Bagi penduduk-penduduk di daerah ini pula asal saja mendapat tahu tentang seorang bomoh mereka akan segera mendapatkannya kalau menghadapi kesakitan. Kadangkala diserang demam panas pun segera mencari bomoh, pada hal penyakit demikian lebih baik dibawa ke hospital.
Kesihan
juga saya melihatkan Aki Sahak. Tidak pernah dia boleh duduk diam di rumah
untuk beribadat dan sebagainya. Ada saja orang menjemputnya. Kadangkala sampai
ke Karak di Pahang, ke Segamat di Johor, ke Tampin juga. Kadangkala dia sengaja
melarikan diri ke rumah anaknya di Mancis, namun dapat juga dicari orang.
"Anak
Sonok ni hilang dari rumah." beritahu Aki Sahak berpaling kepada saya.
"Jadi, itulah nak minta kau sama-sama bantu" jelasnya meleret senyum.
"Eh,
Aki sorang pun boleh....." ujar saya tersengih-sengih.
"Tidak..."
sahutnya tegas. "Aku tak kemampuan, sebab itulah perlu sangat kau membantu.
Ini bukan kerja manusia......" dia mula serius.
"Dah
bagi tau polis?" soal saya.
"Tak
lagi, tapi ketua kampung dah beritahu..." sahut Sonok perlahan.
"Bila
hilangnya?" saya memerhatikan Sonok tersandar pada jenang pintu induk
rumah.
"Hari
ni, tadilah." jelasnya bertambah gelisah. "Tengahari tadi dia
mengembala kambing ke tepi kebun getah nun, top...top....kambing aje balik
petang tadi. Dia entah ke mana." Sonok menerangkan.
Berita
kehilangan anak Sonok yang berumur 10 tahun itu segera diberitahu kepada
jiran-jiran. Biasanya petang-petang selepas balik dari sekolah, Tamin
mengembala kambing di hujung kampung. Dia bukanlah penuntut di sekolah tempat
saya mengajar. Sebab itulah saya tidak mengenali sangat keluarganya. Kebanyakan
penjaga murid di sekolah saya mengajar memang saya kenali. Lagi pun sekolah
yang jauh di kampung pedalaman ini, bukanlah ramai sangat muridnya. Jadi,
cepatlah dapat bermesra dengan penjaga-penjaga mereka. Lagi pun mereka mulai
mengenali saya, sejak peristiwa anak Abang Amud.
Ketika
ini penduduk kampung tempat Aki Sahak tinggal itu pun masih belum tenteram
akibat gangguan bunyi air disedut lubang bergaung dari lombong tersebut. Terutamanya
bila tengah malam orang-orang yang tinggal berhampiran dengan lombong dapat
mendengarnya dengan jelas. Ada juga Tonel memberitahu Sali dia ternampak dari
jauh satu benda melintang di tengah lombong. Tidak lama kemudian benda itu
tenggelam semula ke dalam air. Mungkinkah ular besar yang dikatakan oleh
orang-orang kampung selama ini?
"Saya
minta ustaz cuba-cubalah sikit" pinta isteri Sonok tiba-tiba muncul di
pintu induk rumah itu. Matanya bengkak bekas menangis. "Cubalah ustaz,
kalau mati nak tengok juga mayatnya" dia mula terisak-isak menahan
kesedihan yang menusuk.
"Hisss,
jangan cakap macam tu" Sonok mendongak sambil menguis paha Siti dengan
sikunya. "Tak ada apa-apa tu, boleh jadi Tamin sesat. Sabarlah
sikit......" katanya macam menasihatkan isterinya. Sedangkan dia sendiri
pun saya lihat resah gelisah sejak datang menjemput saya tadi.
"Cubalah
ustaz" pinta Siti lagi merayu-rayu. "Saya dah dengar fasal ustaz di
Kampung Hulu bila anak Amud jatuh ke lombong. Saya harap benar dengan ustaz ni."
ujarnya tidak menghiraukan suaminya yang tersandar pada jenang pintu induk
rumah.
"Sabarlah
kak...." saya pula meminta dia bertenang. "Kita tengok dulu macam
mana, jangan tergopoh-gopoh. Kalau kita sudah yakin Allah saja memberi
perlindungan dan tempat meminta pertolongan, bertenanglah." kata saya
mengingatkan.
Selalunya
demikianlah ibu-ibu menghadapi dugaan apabila anak-anaknya menghadapi masalah.
Tetapi saya tidak dapat salahkan mereka, kerana perasaan manusia selalunya
mudah digoda. Mereka mudah hilang pertimbangan dan segera meminta pertolongan
dari siapa saja, pada hal tempat meminta pertolongan hanya semata-mata kepada
Allah. Ketika meminta pertolongan inilah syaitan menjanjikan pertolongan. Orang
yang tidak sabar akan segera meminta pertolongan pada syaitan tadi. Akhirnya
terpedayalah dengan perangkap syaitan mahu menggoda manusia menukar aqidah, dengan
meminta pertolongan kepadanya.
"Kita
tunggu dulu apa kata Aki Sahak" saya menepuk bahu Aki Sahak yang duduk
mrnyandar pada dinding. "Tak ada apa kita boleh buat, sebab budaknya tak
ada di sini." Aki Sahak tersenyum penuh makna. "Nak dicari tak tahu di
mana, sebab pancaindera kita hanya untuk melihat benda yang nyata" ujarnya
tersengih-sengih.
"Jadi
macam mana ni Aki. Anak saya Aki, macam mana" Siti terus meraung tidak
dapat menahan perasaan sebak yang menumpu di dadanya.
Kemudian
Aki Sahak meminta saya melakukan tidur seperti pernah dilakukan ketika mencari
anak Abang Amud di dalam lombong. Setelah berbincang dengan Aki Sahak saya
bersetuju tidur sendiri dengan tidak payah dikawal oleh Aki Sahak. Seperti yang
telah saya jelaskan cara pengubatan tidur samalah seperti bomoh-bomoh gunakan
semasa mereka 'menurun', tetapi caranya saja berlainan. Bomoh-bomoh selalu
menggunakan 'akuan' tertentu sebagai sahabat, manakala cara tidur yang saya
lakukan hanya satu penyerahan kepada Allah.
Cara
memulakannya tidaklah memerlukan menyeru berbagai-bagai nama, tetapi memudahi
dengan beristighfar kepada Allah Yang Maha Pengampun, kemudian membaca
A'uzubillah meminta dilindungkan dari syaitan, Bismillahhirrahmannirrahim,
Selawat kepada Rasullullah dan tasbih mensucikan keagungan Allah. Para ahli
sufi tidaklah perlu cara tidur seperti yang saya lakukan, baginya memadai
merenung saja ke dalam makrifat dan mereka akan mengetahuinya. Tetapi pengajian
kita belum sampai kepada tingkat ahli sufi, maka cara tidur inilah untuk merenung
secara makrifat. Itulah saya katakan amat sukar mahu menerangkannya di sini,
kerana hanya orang-orang yang mengetahui saja tahu apakah yang saya gambarkan
ini.
"Kau
tidur dulu dan cari di mana budak tu sekarang" bisik Aki Sahak. "Tak
payah beritahu apa-apa pada Aki. Lepas tu nanti baru kita sama-sama mencari di
mana dia." katanya lagi.
Saya
mengangguk. Saya pun memulakan tidur saya. Tidak lama kemudian saya merasa diri
saya sudah berada di satu kawasan paya. Saya terus menyeberangi paya hingga
sampai ke seberangnya yang dipenuhi oleh belukar rotan. Puas saya memerhati
sekelilingnya tidak ternampak pun anak lelaki Sonok yang hilang itu. Dalam pada
itu yang mesti saya ingatkan ialah lorong-lorong jalan serta pedoman yang
terdapat di situ untuk membolehkan orang-orang kampung mencarinya nanti. Sebab
cara yang saya lakukan ini tidak dapat membawa Tamin balik ke rumah, kecuali
kalau dipandu oleh Aki Sahak. Kalau tidur bersendirian ini hanya untuk melihat
saja, bukan untuk melepaskan dia sekiranya dikawal oleh syaitan yang terdiri
dari makhluk-makhluk halus.
Saya
menyusup di bawah duri-duri rotan itu memerhatikan kalau-kalau dia disorokkan
di situ, tetapi tidak juga kelihatan. Biasanya yang melarikan budak demikian
ialah bunian. Tempat yang demikianlah selalunya disukai oleh bunian.
Bagaimanapun Tamin tidak ditemui di situ. Hampir saja saya putus asa kerana
tidak dapat mencari Tamin. Dalam keadaan demikianlah saya membacakan Surah Wad-dhuha
untuk membuka jalan supaya pandangan
saya tidak dilindungi oleh makhluk-makhluk halus. Bagi memudahkan lagi saya
terus membesarkan diri hingga melangkaui pokok-pokok besar yang tinggi. Ketika
inilah saya nampak seorang budak lelaki terselit di celah dahan pokok petai.
Saya camkan betul-betul memang benar itulah budak yang sedang dicari. Dari segi
akal memang mustahil bagaimana Tamin yang baru berumur 10 tahun itu boleh
memanjat pokok yang dianggarkan lima pemeluk. Pokok itu pula terlalu tinggi
yang dahannya yang paling bawah sekali sama tingginya dengan pucuk kelapa saka.
Bayangkanlah bagaimana budak tersebut boleh sampai di celah dahan pokok petai
itu, yang saya anggarkan kira-kira lebih 30 kaki tingginya.
Setelah
saya cam semua pedoman di kawasan pokok petai itu, saya pun balik semula.
Apabila saya terjaga Sonok suami isteri sudah duduk berdepan dengan saya. Tidak
sabar-sabar lagi dia mahu mengetahui sama ada saya sudah berjumpa atau belum
anaknya. Beberapa kali saya menggelengkan kepala. Saya bagaikan tidak percaya
dengan apa yang saya lihat. Bagaimanapun saya terus memberitahu mereka apa yang
telah saya lihat.
"Dah
kau pagar tempat tu?" tanya Aki Sahak.
Saya
menganggukkan kepala. "Budak tu dia tak dapat ambil lagi."
Aki
Sahak menghela nafas. "Jadi, kalau mahu malam ni juga kita cari, kalau
tunggu besok takut terjatuh pula budak tu. Maklumlah penjaga tak dapat masuk
dekat lagi." kata Aki Sahak merenung muka Sonok.
"Eloklah
malam ni juga kita ke situ" sahut Pak Jeli lelaki tua yang mula-mula
menegur tatkala saya sampai tadi. Dia ialah ayah Siti iaitu bapa mertua Sonok. Rupanya dia ini seorang bomoh juga di kampung
itu. Walaupun dia seorang bomoh tetapi tidaklah dia merasa irihati dengan
usaha-usaha yang kami buat. Memang ada cerita mengatakan seseorang bomoh itu
akan marah apabila ada orang lain mahu menunjukkan kepandaian melebihi dia.
Tetapi itu adalah tanggapan saja. Seorang bomoh yang bertanggungjawab tidak
akan menghalang orang lain melakukan sesuatu untuk menolong pesakitnya, malah
dia sendiri akan sama-sama membantu mengikut kemampuannya. Pak Jeli sendiri
mengakui ilmu bomohnya tidak sampai kepada kekuatan doa-doa yang menggunakan
ayat-ayat Quran ini. Selama ini dia sendiri memang mengakui akan kebolehan Aki
Sahak.
Kira-kira
10 orang jiran ikut sama dengan Sonok menuju ke tempat yang saya katakan
seperti yang dapat saya lihat tadi. Di antaranya ialah Tapa Sungkur yang biasa
memanjat pokok petai. Sengaja Tapa Sungkur menawarkan diri setelah mendengar
keterangan saya bahawa Tamin dibawa ke atas pokok yang tinggi. Saya dan Aki
Sahak juga ikut sama. Malah Pak Jeli sendiri sanggup ikut sama. Maklumlah Tamin
itu cucu kesayangannya. Kami masuk ke hutan melalui kebun getah di hujung
kampung dengan membawa suluh andang dari daun nyiur kering. Pak Jeli membawa
lampu suluh enam sambung yang digunakan untuk menyuluh musang. Disebabkan Tapa
Sungkur yang selalu masuk ke hutan dialah yang berjalan di hadapan sekali.
Manakala saya berjalan di belakang sedikit tetapi tidaklah jauh dari Tapa
Sungkur, kerana pedoman sebenarnya menuju ke tempat yang hendak dicari ialah di
dalam ingatan saya.
Apabila
masuk ke kawasan hutan saya seolah-olah hilang pedoman. Tidak dapat hendak
dicari tempat yang saya lihat melalui tidur tadi. Mungkin keadaan malam terlalu
gelap menyebabkan kami tidak dapat mencari arah. Tapa Sungkur juga sudah
berpusing membawa kami sampai ke pinggir anak air, tetapi paya yang dicari
tidak juga bertemu.
"Kalau
paya bukan di sini agaknya" Pak Jeli bersuara di belakang. "Yang aku
tau kawasan paya di sebelah baruh kebun getah tadi. Nampaknya kena berpatah
balik kita....." ujarnya meragui jalan yang dibawa oleh Tapa Sungkur.
"Di
situ mana ada pokok petai" laung Tapa Sungkur meyakinkan Pak Jeli jalan
yang dituju sekarang adalah betul. "Di situ pun tak ada belukar
rotan......" katanya menambah.
"Eloklah
kita tengok dulu....." sahut Pak Jeli mencadangkan.
"Jangan
gopoh-gopoh." Aki Sahak cepat-cepat mencelah. Dalam usaha demikian tidak
boleh berbantah-bantah. Kerja berbantah-bantah itu memang kerja syaitan untuk
melalaikan insan sehingga kerja-kerja yang mahu dilakukan tidak berhasil. "Kita
tak boleh gopoh-gopoh, semuanya mesti bersabar. Ikut dulu ke mana hala yang
diingatkan oleh ustaz tu tadi." ujarnya keras sedikit.
Pak
Jeli tidak menyahut. Tapa Sungkur juga diam. Mereka tidak mahu menyinggung
perasaan Aki Sahak. Selama ini memang Aki Sahak menjadi tumpuan
penduduk-penduduk kampung berhampiran di daerah itu. Kadangkala mereka kecewa
mahu mendapatkan khidmat Aki Sahak kalau ada orang-orang dari Karak di Pahang
memanggilnya. Atau orang-orang dari Segamat dan Tampin juga.
"Saya
cuma agak-agakkan aje Aki." tiba-tiba Pak Jeli menjelaskan dari belakang.
Bimbang juga dia kalau-kalau Aki Sahak tersinggung dengan sikapnya cepat sangat
menyalahkan Tapa Sungkur menunjukkan jalan.
"Tak
baik berbantah-bantah." ujar Aki Sahak mengingatkan sambil berdehem-dehem
macam kahak tersangkut di tekak. "Dengar dulu apa cakap ustaz, dia yang
dapat mengagak jalannya." katanya
termengah-mengah menyusur lereng bukit. Pak Jeli terus mendiamkan diri. Dia
juga termengah-mengah menyusur lereng bukit kerana banyak akar-akar pokok besar
menungkal. Malam bertambah gelap di dalam hutan demikian. Ketika ini sudah
lebih pukul 12 malam. Bunyi kuang sayup-sayup di balik bukit diselang-seli
bunyi ngiang-ngiang cengkerik bersahutan. Saya berhenti sejenak di atas akar
kayu menungkal sambil mendongak ke atas. Melihatkan saya berhenti mereka semua
pun ikut sama berhenti. Aki Sahak pun
sudah sampai di belakang saya.
"Nanti
dulu Tapa..." Aki Sahak memanggil apabila Tapa Sungkur yang di depan mahu
meneruskan perjalanan. Tapa Sungkur berpatah balik ke belakang mendapatkan
saya. Perlahan-lahan saya membaca Surah Waddhuha bagi mendapatkan semula
pedoman jalan menuju ke pokok besar yang kami cari. Selepas membaca tiga kali
Surah Waddhuha saya dapat melihat dengan jelas paya di bawah lereng bukit. Paya
itulah tidaklah buyau, tetapi cuma tanah pamah yang ditumbuhi pucuk-pucuk paku.
"Cuba
ikut ke bawah ni Tapa." saya memuncungkan bibir ke bawah lereng bukit.
Tapa Sungkur terus melompat mencari jalan untuk ke seberang tanah pamah tadi.
Sonok mengekorinya dari belakang. Manakala saya berjalan di belakang Sonok dan
diikuti oleh Aki Sahak serta Pak Jeli. Jiran-jiran yang lain semuanya berjalan
di belakang. Memang betul sebaik melepasi saja kawasan tanah pamah itu kami
menemui belukar rotan yang padat. Tidak ada lorong mahu menembusi belukar ini.
Kami terpaksa berlegar-legar mencari jalan untuk naik ke bukit di sebelahnya.
"Bangsat!"
saya terdengar Pak Jeli merungut. "Orang di sini nak cari geruh rupanya.
Tahulah aku! Tahulah aku! Ustaz ni akan ajar kau. Aku bawa ustaz ni untuk ajar
kau!" dia menggertap bibir. Sebaik saja ke kawasan di situ Pak Jeli sudah
dapat menangkap gangguan tersebut, kerana dia memang pun seorang bomoh.
"Dia
nak merasa penangan Aki Sahak dengan ustaz dengan Pak Jeli, biarkan!"
gerutu Tapa Sungkur terkial-kial mahu mencari jalan melepasi belukar rotan yang
padat.
"Jangan
gempur dia dulu Jeli..." kata Aki Sahak mengingatkan. "Kita jumpa
anak Sonok dulu dan kita bawa balik, lepas tu baru gempur" ujar Aki Sahak
selanjutnya. Dia bimbang Pak Jeli tidak sabar bila menghadapi suasana demikian.
Disebabkan dia seorang bomoh tentulah dia tidak peduli apa lagi bila mahu
menentang makhluk-makhluk halus demikian. Kadangkala tindakan demikian boleh
membahayakan orang yang sedang diganggu oleh syaitan tersebut. Orang demikian
sudah tidak ada semangat lagi, kerana sudah dikuasai oleh makhluk-makhluk
halus. Kalau tersilap langkah sukar untuk memulihkan semula semangatnya.
"Jangan
gempur dulu Jeli!" ulangi Aki Sahak.
"Iyalah
Aki..." sahut Pak Jeli. "Saya serahkan pada Aki dan ustaz saja. Saya
bantu dari belakang" jelasnya.
Puas
berlegar-legar kami sampai ke kawasan
belukar bemban. Dari sanalah Tapa Sungkur membelok ke kanan mencari pokok
besar seakan-akan pokok petai yang saya
sebutkan itu. Sebaik saja melepasi belukar bemban itu barulah kami bertemu
sebatang pokok besar terpencil dari pokok-pokok yang lain.
"Aki..."
Pak Jeli menarik bahu Aki Sahak. Tangannya menyuluh ke atas dengan lampu picit
sambung enam. "Itu Aki, tengok tu, tengok" katanya bergetar
menggertap bibir.Kami semua nampak Tamin di atas pokok tersebut. Bagaimanakah
cara mahu memanjat ke atas sedangkan pokok itu terpencil di situ. Kalau ada
anak-anak kayu bolehlah memanjat mengikut anak-anak kayu. Manakala Tamin pula
berpaut pada dahan yang di atas sekali.
Bagaimanakah
Tamin boleh sampai ke atas pokok demikian besar? Sedangkan orang-orang dewasa
pun tidak tahu bagaimanakah caranya mahu naik memanjat memandangkan pokok itu
tidak dapat dipeluk. Demikianlah perlakuan mahkluk-makhluk halus yang tidak
dapat kita lihat melalui pancaindera biasa, kecuali melalui makrifat. Tentulah
kerjanya membawa Tamin ke atas pokok tersebut.
Disebabkan
kami sudah tahu bahwa Tamin berada di atas pokok yang tinggi, maka kami memang
sudah membawa persediaan yang cukup seperti tali serta kapak. Dengan
perkakas-perkakas demikian mudahlah Tapa Sungkur mahu memanjatnya. Mula-mula
Tapa Sungkur menakik pokok itu dibuat bertangga bagi memudahkan kakinya
berpijak. Tali dililitkan sekeliling pokok dan dengan ini boleh memautkan
pinggangnya di celah tali tersebut.
Sedikit
demi sedikit dia menakik pokok dengan kapak, sedikit demi sedikit dia naik ke
atas. Sehinggalah Tapa Sungkur berjaya memanjat naik, timbul juga masalah
bagaimana mahu menurunkan Tamin. Dia tidaklah pengsan atau tidak sedar diri.
Tetapi seperti orang kebingungan tidak tahu apa-apa pun berlaku ke atas
dirinya. Bila dipanggil namanya dia menyahut. Sebaliknya kalau ditanya yang
lain-lain dia hanya menggeleng kepala atau mengangguk saja.
Tali
yang dibawa pula tidak cukup panjang untuk membolehkan Tapa Sungkur menbawa
Tamin turun. Kami semua menjadi hilang akal. Adalah satu perkara mustahil untuk
membawa seorang kanak-kanak berumur 10 tahun turun dari pokok demikian tinggi.
Kalau silap-silap berpaut mungkin dua-dua sekali terjun ke bumi. Setelah puas
memikirkan cara untuk menurunkan Tamin, akhirnya Pak Jeli sudah tidak sabar
lagi. Saya lihat dia menggertap bibir menahan perasaan marahnya.
"Aki,
sekarang biar giliran saya dulu." katanya memandang Aki Sahak.
"Silakan..."
sahut Aki Sahak perlahan.
"Ustaz,
tadi giliran ustaz. Sekarang biar saya pula." Pak Jeli menoleh kepada saya
pula.
"Silakan
Pak Jeli" kata saya. Itulah baiknya bila kita ramai. Mungkin salah seorang
dari kita mempunyai kelebihan dari satu segi, dan lemah dari segi lain.
Manakala dari segi yang lemah itu, orang lain pula mempunyai kelebihan.
Demikianlah antara saya, Pak Jeli dan Aki Sahak ketika ini. Aki Sahak dan Pak
Jeli memerlukan saya untuk mencari di manakah Tamin dilarikan oleh syaitan.
Tetapi dalam kelam kabut untuk membawa Tamin turun dari pokok mungkin Pak Jeli
lebih berpengalaman dari Aki Sahak dan saya sendiri. Di sinilah pentingnya kami
semua berpadu tenaga.
"Tapa..."
laung Pak Jeli di dalam gelap malam yang sepi itu. Suaranya bergaung ke balik
bukit. "Tapa, turun dulu. Biarkan dia di situ. Turun kau dulu..." dia
menyeru Tapa Sungkur supaya turun.
"Turun
dulu Tapa" Aki Sahak juga memanggilnya. "Biar Jeli pula naik. Jeli
sendiri nak naik." laungnya dari bawah. Terpaksalah Tapa Sungkur turun
dengan hampa. Ketika ini sudah lebih pukul tiga pagi. Tamin masih juga belum
dapat dibawa turun. "Setahu saya kawasan ni tak ada pokok petai"
keluh Tapa Sungkur sebaik saja dia sampai ke bawah. Hairan juga dia dari mana
datangya pokok petai di situ. Kawasan hutan di situ semuanya sudah dalam kepala
Tapa Sungkur. Dia sudah mahir di mana selekohnya, di mana pokok petainya, di
mana rotannya. Cuma dia satu-satunya yang selalu mencari petai di situ.
Sebaik
saja Tapa Sungkur sudah turun, Pak Jeli terus mengelilingi pokok petai
berkenaan. Kemudian dia menampar perdunya tiga kali. Ketika ini Aki Sahak
membisikkan kepada saya supaya membantu Pak Jeli. Apabila saya dan Aki Sahak
sudah terpaksa mengambil keputusan menggempur bersama Pak Jeli, cuma kami bertiga
sajalah dapat berhubung antara satu sama lain. Saya dengan Aki Sahak memang
mempunyai cara yang sama, tetapi Pak Jeli berlainan sedikit. Bagaimanapun kami
masih dapat bekerjasama. Sementara jiran-jiran yang sama ada di situ hanya
melihat kami bertiga dari mata kasar saja. Oleh itu mereka melihat hanya Pak
Jeli berkeliling pokok, sementara saya dan Aki Sahak berdiri memejamkan mata.
Pokok petai yang tersergam di depan kami sudah bertukar menjadi lembaga hitam
yang tinggi. Pak Jeli juga sudah berdiri sama tinggi dengan lembaga hitam
berkenaan.
"Awak
rupanya ye!" jerkah Pak Jeli lalu menampar muka lembaga hitam itu tiga
kali. "Awak tak tau ke, bukankah cucu kawan yang awak larikan tu."
dia bercekak pinggang mencabar lembaga hitam itu seterusnya.
Lembaga
hitam itu cuba menyiku Pak Jeli, tetapi dengan pantas kakinya menyepak pada
bahagian dada. Tamin masih juga dikepitnya di celah ketiak.
"Sekarang
serahkan cucu aku!" suara Pak Jeli keras mengancam lembaga hitam tersebut.
"Aku tahu asal kau jadi, orang memburu sesat di hutan asal kau jadi."
bentak Pak Jeli bertambah marah.
"Awak
jangan cari geruh Jeli..." jerkah lembaga hitam itu. "Awak dapat
sahabat baru, sahabat lama dah lupa. Tak mengenang budi awak ni Jeli!"
katanya menyindir.
"Kawan
tak peduli." sahut Pak Jeli. "Kalau awak tak serahkan cucu kawan,
bertempurlah kita. Belum tentu siapa yang geruh!" Pak Jeli teru menyepak
dagu lembaga hitam itu. Dia tetap berkeras tidak mahu melepaskan Tamin yang
dikeleknya.
Seperti
yang saya katakan Pak Jeli mempunyai cara bomohnya. Dia terpaksa menentang
lembaga hitam setinggi 30 kaki dengan kekuatan tenaganya sendiri. Manakala saya
dan Aki Sahak tidak menentang dengan kekuatan secara makrifat, tetapi dengan
ayat-ayat Quran saja. "Walla-uanna
Qur’anna Suyirat bihhil jibaalu.." saya membaca doa lalu menghembuskan
dari jauh. Serta merta terpancar kilat dengan petir memukul kepala lembaga
hitam itu. Saya lihat Aki Sahak menghembuskan ayat, "Lanarjumannakum..." sekaligus memancar panah api
menyinggahi tubuh lembaga hitam itu.
"Ampun.."
teriaknya merintih. "Belum pernah kawan jumpa ilmu macam ni tinggi.
Ampun... Jeli, minta sahabat baru awak tu, jangan seksa kawan macam ni. Kita
bersahabat lagi Jeli." ujarnya merayu-rayu meminta belas kasihan.
"Baru
awak tau, siapa sahabat kawan!" ejek Pak Jeli sambil menampar muka lembaga
itu tiga kali lagi.
"Cukuplah
Jeli, cukuplah" rayu lembaga itu lagi.
"Sekarang,
serahkan cucu aku!" bentak Pak Jeli menyepak betis lembaga itu pula.
"Kalau
awak nak berlawan, satu sama satu Jeli..." dia mencabar Pak Jeli setelah
panah api tidak mengancamnya lagi.
"Awak
pun kalau nak berlawan, serahkan cucu kawan dulu." sahut Pak Jeli semakin
berang. "Kalau awak berani, dengan kawan, jangan dengan cucu kawan."
Pak
Jeli terus menyerbu menyiku rusuknya. Lembaga hitam itu terhuyung-hayang akibat
disiku oleh Pak Jeli. Tetapi dengan pantas dia cuba membalas dengan menampar
Pak Jeli. Bagaimanapun Pak Jeli sempat mengelak. Sekali lagi Pak Jeli menendang
dada lembaga hitam berkenaan. "Bukankah kawan dah cakap, awak tak dapat
mengalahkan kawan, bangsat puaka hutan jembalang tanah!"
Pak
Jeli menggertap bibir. "Sekarang lepaskan cucu aku!" jerkahnya.
Lembaga
itu mengejek dengan ketawa. Dia tetap tidak melepaskan Tamin dari keleknya.
Ketika ini orang-orang yang ada di bawah pokok hanya mendengar Pak Jeli
berbantah-bantah dengan Tamin di atas pokok. Suara Tamin bergaung sampai ke
bawah.
"Lepaskan
cucu aku!" bentak Pak Jeli lagi.
"Awak
kata kuat, cubalah ambil sendiri..." lembaga hitam itu tertawa mengejek.
Kemudian
saya lihat Pak Jeli menerkam garang mahu merampas Tamin dari kelekan lembaga
hitam itu. Mereka bergomol menunjukkan kehandalan masing-masing. Ketika ini
juga Aki Sahak membacakan sesuatu doa lalu menghembuskan ke arah lembaga hitam
tersebut. Sekaligus api dari segenap penjuru menyerbu ke arah lembaga hitam.
Terjerit-jerit dia menahan kesakitan. Tetapi Aki terus meniup ke arahnya. Saya
juga mengulangi beberapa ayat lain bagi membantu Pak Jeli yang membuat
serangan.
"Haazihi
jahannamullati kuntum tu'adun..."
saya
menghembuskan ke arahnya. Serentak dengan itu petir dan kilat memancar menerkam
ke kepala lembaga hitam.
"Jeli,
kau berani kerana sahabat-sahabat kau membantu." rintih lembaga hitam itu
gementar. "Ilmu sahabat-sahabat kau terlalu tinggi. Belum pernah aku
menentang ilmu yang demikian tinggi..." katanya merayu supaya tidak
diserang lagi.
Bagaimanapun
Aki Sahak tetap tidak mempedulikan rayuan lembaga hitam ini. Memandangkan Aki
Sahak terus menentang, saya juga tidak berhenti dari meneruskan serangan. Asap
berkepul-kepul meliputi lembaga hitam setinggi 30 kaki itu akibat tubuhnya
terbakar.
Dengan
yang demikian dapatlah Pak Jeli merampas semula Tamin dari bawah kelek lembaga
itu. Sebaik saja Tamin berada dalam tangan Pak Jeli, lembaga hitam itu terpelanting
jauh dihembus oleh Aki Sahak. Dia menjerit-jerit kesakitan ketika melayang ke
udara ditiup oleh Aki Sahak.
Apabila
keadaan pulih semula kami pun baliklah membawa Tamin yang masih dalam
kebingungan. Kira-kira hampir jam 6.00 pagi barulah kami semua sampai di rumah
Sonok. Terasa mengantuk betul mata akibat keletihan dan tidak tidur semalaman.
Semasa
dalam perjalanan balik itu sempat Tapa Sungkur bercerita mengenai apa yang
dilihatnya. Katanya dia hairan bagaimana Pak Jeli yang sudah berumur itu boleh
memanjat pokok petai yang tinggi macam beruang memanjat pokok saja. Dia tidak
perlu menggunakan apa-apa, seolah-olah kaki dan tangannya melekat pada pokok
berkenaan. Semasa dia membawa Tamin turun dari pokok mudah saja kepadanya
seperti menjinjing kapas. Inilah yang menghairankan jiran-jiran yang
menyaksikan Pak Jeli menyelamatkan cucunya Tamin.
"Kalau macam tu bolehlah ajak Pak Jeli
cari petai ke hutan" Tapa Sungkur mengusik.
"Bukan
selalu boleh buat macam tu..." cepat-cepat Sonok mencelah bila mengenangkan
bapa mertuanya boleh memanjat pokok setinggi 30 kaki macam berjalan di atas
tanah saja.
"Hanya masa-masa tertentu saja dia boleh
lakukan macam tu. Kalau saja-saja nak tunjuk mampus tak dapat." katanya
menerangkan.
"Iya,
ini bukan barang permainan..." Aki Sahak pula bersuara keras. "Jangan
heboh-hebohkan sangat apa yang kamu lihat tadi. Kalau boleh perkara di pokok
tadi, biar habis di pokok saja."
Dia
mengingatkan supaya keanehan yang dilihat sebentar tadi tidak diceritakan
kepada orang-orang kampung yang tidak ikut sama.
Saya juga setuju dengan Aki Sahak. Perkara yang berlaku ke atas Pak Jeli yang dilihat boleh memanjat pokok setinggi 30 kaki seperti berjalan di atas tanah, bukanlah satu pertunjukkan sarkas. Ianya digunakan pada masa yang diperlukan saja. Walaupun Tamin dapat dibawa balik tetapi keadaannya masih belum pulih. Semangatnya masih dikuasai oleh lembaga hitam yang melarikannya. Sebab itu dia masih dalam keadaan kebingungan, tidak tahu apa yang terjadi ke atas dirinya. Disebabkan saya tidak boleh lagi menunggu lama di rumah Sonok, saya pun segera balik ke rumah. Lagi pun saya terpaksa bertugas. Bayangkan bagaimana mahu bertugas dalam masa mata terlalu mengantuk tidak tidur semalaman. Perkara mengubati Tamin saya serahkan pada Aki Sahak dan Pak Jeli saja.
TAMAT
*Untuk
Arwah, ABDUL MULUK BIN DAUD @Tok Awang Ngah… AL-FATIHAH
No comments:
Post a Comment